Kawalan keselamatan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) semakin kukuh.-Datuk Victor Sanjos
![](https://static.wixstatic.com/media/d65831_04de5346fa194bb7b0330a034ae5da09~mv2.jpg/v1/fill/w_147,h_98,al_c,q_80,usm_0.66_1.00_0.01,blur_2,enc_avif,quality_auto/d65831_04de5346fa194bb7b0330a034ae5da09~mv2.jpg)
13 Februari 2025
KOTA KINABALU: Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) Datuk Victor Sanjos menegaskan tahap keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) semakin kukuh.
Katanya, berdasarkan statistik, kes penculikan yang terakhir berlaku di ESSZone adalah pada 15 Januari 2020 iaitu lebih lima tahun lalu.
"Ini ekoran daripada strategi dan pengukuhan di tempat-tempat yang lebih terkawal dan lebih selamat.
![](https://static.wixstatic.com/media/d65831_652223efa06d4376acc27b1d4419318e~mv2.jpg/v1/fill/w_147,h_98,al_c,q_80,usm_0.66_1.00_0.01,blur_2,enc_avif,quality_auto/d65831_652223efa06d4376acc27b1d4419318e~mv2.jpg)
"Selain itu, ia juga merupakan hasil kerjasama daripada masyarakat dan juga agensi-agensi yang lain.
"Jadi sebagai jenama keselamatan di kawasan Pantai Timur, ia memperlihatkan peningkatan dan pertambahan kedatangan pelancong-pelancong asing dan juga dalam negara ke kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas kunjungan hormat kepada Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi di sini, pada Rabu.
Hadir sama, Timbalan Komander ESSCOM Brigadier Jeneral Mohamad Ismail Kamarudin, Pengarah Bahagian Khidmat Keurusetiaan ESSCOM Imelda Godon, Ketua Penolong Pengarah (KPP) Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat JAPEN Sabah Peter Tong, KPP Bahagian Media Siber JAPEN Sabah Geraldine Voo dan KPP Unit Keurusetiaan JAPEN Sabah Siti Mariam Aziz Rashid.
Victor berkata, beliau juga dimaklumkan lebih banyak pelaburan daripada luar negara dan juga dalam negara akan tertumpu kepada kawasan Pantai Timur Sabah.
"Sebagai perancangan masa hadapan, ESSCOM bercadang untuk menggunakan teknologi dari segi kawalan sempadan seperti teknologi AI dan juga pembinaan pos-pos yang baru supaya keselamatan lebih mengukuh," katanya.
Victor berkata, kunjungan hormat berkenaan bertujuan untuk menciptakan sinergi kerjasama dan membuat perancangan bagi kepentingan bersama terutamanya dari segi kepentingan strategik.
"Pihak ESSCOM amat memerlukan kerjasama dan juga perkhidmatan daripada kepakaran Jabatan Penerangan (JAPEN) Negeri Sabah yang sudah tentu akan dilihat dapat
menerangkan situasi sebenar aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM, Datuk Dr. Jamaluddin Mohd. Ali memaklumkan selain operasi keselamatan, ESSCOM juga memfokuskan beberapa agenda utama lain antaranya kolaborasi bersama jabatan dan agensi serta program bersama masyarakat.
"ESSCOM akan meneruskan beberapa aktiviti kemasyarakatan yang dilaksanakan pada tahun lalu dan juga beberapa program baharu antaranya Kampung Angkat Madani yang mana Kampung Inderasabah,” katanya.- JABATAN PENERANGAN SABAH.