top of page
nabalunews

KBS Sabah Fokus Tingkat Hala Tuju Pemerkasaan Sukan, Atlet, dan Belia




19 November 2024


KOTA KINABALU: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah komited memperkukuh hala tuju dalam pemerkasaan sukan, pembangunan atlet, dan belia di seluruh negeri Sabah.


Menurut Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Fairuz Renddan, Belanjawan Negeri Sabah 2025 yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun baru-baru ini telah memperuntukkan RM90.17 juta untuk perbelanjaan operasi dan RM11.29 juta untuk pembangunan KBS Sabah.


"Kami di KBS yakin peruntukan ini akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk mencapai matlamat kementerian. Sejak awal lagi, semua kakitangan KBS telah disarankan untuk menghasilkan mutu kerja berkualiti bagi memperkasakan sukan dan atlet tempatan," kata Fairuz dalam kenyataan media pada Selasa.


Beliau mengakui bahawa kekurangan infrastruktur, khususnya bagi atlet di kawasan luar bandar dan pedalaman, masih menjadi cabaran utama.


Namun katanya, usaha sedang giat dilakukan untuk menambah baik kemudahan tersebut secara berperingkat mengikut keupayaan dan dana yang diperoleh.


"Kami sedar cabaran ini, namun ia tidak menghalang kami untuk terus memperbaiki keadaan sedikit demi sedikit. Semua ini dilakukan demi memastikan atlet kita mendapat sokongan yang sewajarnya," katanya lagi.


Fairuz turut menekankan usaha KBS Sabah dalam memberikan latihan intensif dan merangka jadual khas bagi memastikan atlet bersedia menghadapi pertandingan sukan akan datang.


"Atlet kita telah menunjukkan semangat juang tinggi semasa mewakili Sabah di SUKMA Sarawak baru-baru ini. Walaupun pertandingan itu telah berakhir, mereka terus berlatih gigih untuk kejohanan seterusnya," ujarnya.


Beliau menegaskan bahawa KBS Sabah akan berusaha memenuhi segala keperluan latihan untuk semua jenis sukan bagi memastikan atlet Sabah mampu bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.


"Kejayaan tidak datang mudah, tetapi dengan sokongan penuh, kami yakin atlet Sabah dapat mencipta kejayaan dan mengharumkan nama negeri di arena sukan," tambahnya.


Dalam kenyataannya, Fairuz menyeru golongan belia yang berbakat dalam sukan untuk berani melangkah ke hadapan dan menunjukkan potensi mereka.


"Sabah memerlukan bakat-bakat muda untuk memacu kemajuan sukan negeri ini. Jangan takut untuk menyerlahkan kemampuan anda," katanya.


Beliau turut menggesa pihak sekolah dan ibu bapa untuk memberi dorongan kepada anak-anak yang menunjukkan minat dalam sukan.


"Kerjaya dalam bidang sukan kini semakin cerah. Apa jua yang diceburi, jika diiringi dengan usaha dan tekad, kejayaan pasti menjadi milik kita. Para ibu bapa dan guru, galakkan anak-anak yang berbakat agar yakin dengan kemampuan mereka," jelas Fairuz.


Katanya ibu bapa dan guru perlu mempunyai inspirasi dan aspirasi yang jitu dalam usaha merealisasikan kecemerlangan sukan di Sabah.


"Siapa tahu, anak yang bermain badminton di halaman rumah hari ini mungkin menjadi wakil Sabah di SUKMA esok. Kejayaan itu pasti akan menjadi kebanggaan kita semua," katanya.

Comments


bottom of page