top of page

Kebakaran rumah, empat maut

nabalunews

20 Februari 2025


LABUAN: Empat mangsa melibatkan seorang warga emas dan tiga beradik berusia lapan hingga 12 tahun maut dalam kejadian kebakaran di Lazenda Villa 2 Kerupang, di sini, malam tadi.


Dalam kejadian jam 12.15 tengah malam itu, seorang kanak-kanak turut dilaporkan cedera manakala empat lagi mangsa termasuk seorang bayi berjaya diselamatkan.


Empat mangsa yang maut dikenali sebagai Morris Chong Hoon Cheung, 65, dan dua cucunya, Shayviann Kyrona Ruby Chong Shamioon, 8, dan Shahwin Kind Chong Shahmioon, 11 tahun, manakala seorang lagi masih belum dikenalpasti.

Semua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) yang turut hadir membantu di lokasi kejadian manakala seorang lagi difahamkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di hospital.


Difahamkan, terdapat empat mangsa kanak-kanak yang terperangkap di dalam bilik dan semua berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba lengkap berpakaian peralatan perlindungan peribadi (PPE).


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran berkenaan pada jam 12.27 tengah malam.

Katanya, sepasukan 23 anggota dan pegawai segera dikerah ke lokasi kejadian yang terletak tujuh kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labuan.


“Kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat jenis kekal dan membabitkan sembilan penghuni rumah.


“Tiga mangsa berjaya keluar sendiri melalui tingkap ke bumbung rumah bersebelahan manakala bayi lelaki berusia setahun berjaya diselamatkan orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Menurutnya, semua empat mangsa iaitu bayi dan lelaki berusia 35 serta dua wanita berusia 32 dan 61 tahun dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan.


Sementara itu, katanya, pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran dengan empat pancutan.


“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.22 pagi dan selepas dipastikan tiada lagi punca yang boleh menyebabkan kemungkinan kebakaran semula.


“Setakat ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak Forensi JBPM,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page