Kebakaran rumah, seorang lelaki maut

24 Mac 2025
LABUAN: Seorang lelaki maut dalam kejadian kebakaran melibatkan sebuah rumah di Kampung Lubok Temiang, Simpang Mat Isa, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Usman Tuan, 53, ditemui terbaring dalam keadaan tidak sedarkan di luar rumah terbakar.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan berkata, kejadian melibatkan sebuah rumah jenis kekal berkeluasan 55 meter persegi yang musnah sepenuhnya.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 2.20 pagi.
“Seramai 21 anggota bersama jentera terus dikerah ke lokasi untuk membantu dan mangsa ditemui di luar rumah setibanya pasukan operasi di tempat kejadian.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Labuan yang turut hadir membantu di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, api berjaya dikawal pada jam 3.02 pagi dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.11 pagi.
“Setakat ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan unit forensik JBPM,” katanya.
Comments