Keberkesanan PPPM: Kadar keciciran menurun, penyertaan TVET meningkat
21 November 2024
PUTRAJAYA: Pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) terus membuahkan hasil, dengan penurunan konsisten kadar keciciran murid sekolah menengah serta peningkatan penyertaan dalam program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sejak 2019.
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan, menyatakan bahawa kadar keciciran murid sekolah menengah mencatatkan penurunan daripada 1.14 peratus pada 2019 kepada hanya 0.83 peratus pada 2023.
"Kementerian Pendidikan (KPM) komited dalam menangani isu keciciran pelajar dengan melaksanakan pelbagai intervensi bagi memastikan mereka kembali ke sekolah. Pada tahun 2023, Program Outreach Murid Cicir berjaya mengembalikan seramai 1,269 murid sekolah rendah dan 2,006 pelajar sekolah menengah ke sekolah," katanya dalam wawancara khas baru-baru ini, lapor Bernama.
Selain itu, inisiatif untuk menarik minat pelajar menyertai program TVET turut menunjukkan kejayaan ketara. Pada tahun 2022, kadar kebolehpasaran pelajar TVET di Kolej Vokasional (KV) mencapai 99.38 peratus, hasil pendekatan yang menekankan 70 peratus amali dan 30 peratus teori.
KPM juga sedang merancang program baharu berimpak tinggi seperti kecerdasan buatan, teknologi automotif kenderaan elektrik, dan teknologi hidrogen untuk terus meningkatkan daya saing pendidikan negara.
Pelbagai kerjasama dengan pemain industri, termasuk Persatuan Teknologi Kebangsaan Malaysia (Pikom) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM), turut memacu reformasi pendidikan ke arah memenuhi keperluan masa depan.
Comments