top of page
  • nabalunews

Kedai runcit terbakar di flat lama Kampung Sim-Sim

20 September 2024

Oleh Wartawan Nabalu News 


SANDAKAN: Sebuah kedai runcit jenis kekal berkeluasan 150 meter persegi di flat lama Kampung Sim-Sim, Rancangan Rumah Murah Sim-Sim, Sandakan, terbakar malam semalam.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Severinus Sainkui, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 11.39 malam melalui talian MERS999.


Katanya 14 anggota bomba dari BBP Sandakan dengan sebuah jentera pemadam api, water tanker dan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak 5 kilometer dari balai.


Katanya, pemadaman menggunakan sumber air dari pili bomba terdekat sebelum kebakaran dapat dikawal jam 11.55 malam.


Operasi bomba ditamatkan jam 1.02 pagi selepas memastikan tiada bahaya yang lain.


Tiada mangsa terlibat dalam kejadian berkenaan. Sementara punca serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.


Kedai runcit berkenaan juga terletak di tingkat bawah kawasan perumahan pangsapuri dan api berjaya dikawal dari merebak ke kawasan kedai berdekatan.

Comments


bottom of page