top of page
nabalunews

Kedaulatan negara dan negeri Sabah terus dicabar : Kementerian Luar Negeri perlu ambil tindakan tegas, kutuk sekeras-kerasnya




15 November 2024


Oleh : Wartawan Nabalu News 


SANDAKAN : Kementerian Luar Negeri perlu bertindak tegas dan tidak boleh berkompromi dengan sebarang provokasi pihak yang secara terus mencabar kedaulatan negara ini dan negeri Sabah.


Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, berkata.sekiranya kedaulatan negara ini dicabar, kerajaan mesti bertindak pantas dan menggunakan semua saluran diplomatik untuk nengambil tindak balas yang sewajarnya.


"Memandangkan negara kita akan memegang jawatan sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025, negara kita mesti tanpa ragu-ragu menunjukkan kepada semua negara anggota ASEAN bahawa kita bertekad untuk mematuhi undang-undang dan konvensyen antarabangsa mengenai kedaulatan wilayah," tegasnya.


Beliau juga mahu Kementerian Luar Negeri memandang serius dakwaan seorang peguam dari pihak Filipina kononnya keputusan mahkamah Perancis yang menolak tuntutan Sultan Sulu dua hari yang lalu membawa maksud bahawa Sultan Sulu kini bebas untuk menyewakan Sabah kepada mana-mana negara lain.


Vivian menyatakan ini adalah satu tuduhan yang serius dan pada masa yang sama, beliau juga mengemukakan soalan kepada Menteri Luar Negeri untuk menjelaskan sama ada kenyataan peguam yang mewakili keturunan Sultan Sulu tersebut mempunyai sebarang asas yang sahih.


"Kedaulatan negara kita tidak boleh diperlakukan seperti bola sepak dan dimainkan oleh mana-mana pihak sesuka hati," katanya.


Beliau bertanya apakah tindakan yang akan diambil oleh pihak kerajaan terhadap individu atau organisasi yang cuba mengancam kedaulatan negara.


Vivian menyatakan perkara itu ketika sesi Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025, Kementerian Luar Negeri (Peringkat Jawatankuasa) di Dewan Rakyat.


Pada sesi perbahasan yang sama, Vivian turut menyoal Menteri Luar Negeri mengenai sama ada dua akta baru Filipina itu melanggar Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS).


Vivian merujuk kepada dua akta baharu yang diluluskan di Filipina, yang menyentuh soal tuntutan terhadap Sabah, selain melanggar sempadan maritim negeri ini. 


Akta tersebut masing-masing Akta Zon Maritim Filipina (RA 12064) dan Akta Laluan Laut Kepulauan Filipina (RA 12065) yang dipersetujui Presiden Filipina.

Comments


bottom of page