top of page
  • nabalunews

Kegagalan Bukan Pengakhiran, Tetapi Peluang untuk Belajar dan Bangkit - Tun Juhar

16 September 2024


KOTA KINABALU: Kegagalan tidak bermakna seseorang individu atau sesebuah bangsa tidak akan mencapai kejayaan. Sebaliknya, ia adalah isyarat bahawa terdapat banyak lagi perkara yang perlu dipelajari dan dikuasai dalam perjalanan menuju kejayaan.


Yang di Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, menegaskan bahawa kegagalan tidak seharusnya dianggap sebagai alasan untuk berputus asa atau menyerah kalah.


Sebaliknya, beliau menyeru agar setiap individu dan masyarakat terus berusaha dengan lebih gigih dan bersemangat dalam mengejar kejayaan, bukan sahaja di dunia, malah di akhirat.


Ini kerana kejayaan yang sebenar memerlukan ketekunan, kesabaran, serta kesanggupan untuk belajar daripada kesilapan dan cabaran yang dihadapi.


Dalam hal ini, Tun Juhar menekankan bahawa semangat pantang menyerah dan usaha yang berterusan adalah kunci untuk mencapai kejayaan yang hakiki.


Sesungguhnya, setiap kegagalan adalah peluang untuk memperbaiki diri dan melangkah dengan lebih yakin ke arah matlamat yang lebih besar.


"Ini kerana sudah menjadi peraturan llahi dan dibuktikan oleh sejarah bahawa, tidak ada satu pun bangsa yang berjaya tanpa berhadapan halangan mahupun rintangan.


"Malah Rasulullah SAW sendiri berhadapan dengan pelbagai rintangan, termasuklah dipulaukan sehingga mahu dibunuh oleh kafir Quraisy.


"Selepas melepasi semua rintangan, barulah baginda memiliki pemerintahan sendiri di Madinah, seterusnya menebar kegemilangan dalam sejarah perjuangan Islam.


"Justeru, kegagalan bukan bermakna kita gagal sepenuhnya, tetapi ia bermakna kita belum lagi berjaya," katanya ketika berucap pada Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah 1446H/2024M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini, lapor Harian Metro.


Turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.


Sementara itu, Hajiji berkata, umat Islam di negeri ini diingatkan agar tidak terus terperangkap dalam zon selesa dan beranggapan nasib serta masa depan kaum Bumiputera tetap terjamin dan terbela.


Katanya, umat Islam wajar keluar dari kepompong zon selesa dengan menerapkan budaya berfikir berasaskan fakta dan ilmu, berfikir di luar kotak untuk memajukan diri, bangsa serta negara.


Menurutnya, sambutan Maulidur Rasul yang diadakan bukan sekadar untuk memperingati dan meraikan hari kelahiran Rasulullah SAW semata-mata.


Menurutnya, ia adalah satu daripada wadah untuk mengikis mentaliti cepat puas hati dan membebaskan diri daripada perangkap zon selesa terutama dalam kalangan anak muda dan belia Muslim.


Katanya, selaras dengan sifat serta sikap Nabi Muhammad SAW yang meskipun maksum, dikasihi Allah dan dijamin masuk syurga, namun tetap tekun dan istiqamah melaksanakan amal ibadat dengan sempurna.

Comments


bottom of page