Keharmonian dan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negeri ini perlu dikekalkan: Ghani
18 Disember 2024
NABAWAN: Keharmonian dan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negeri ini yang telah sekian lama wujud perlu dikekalkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin berkata, perbezaan kepercayaan tidak boleh dijadikan sebagai penghalang untuk bersatu dan mengekalkan keharmonian dan perpaduan yang telah sekian lama dimiliki oleh masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
"Kita mestilah bersatu dalam segala aspek demi kesejahteraan dan pembangunan negeri ini khususnya di daerah Nabawan ini" katanya semasa berucap merasmikan Perayaan Natal SIB Kawasan di gereja Sidang Injil Borneo (SIB) Saup dekat sini pada Ahad.
Ghani yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) berkata, untuk mengekalkan keharmonian dan perpaduan yang sedia ada, semangat kekitaan dan persaudaraan dikalangan masyarakat perlu dimiliki oleh setiap individu tanpa mengira kepercayaan dan fahaman politik.
Pada masa sama Ghani menyeru masyarakat di daerah ini memberi sokongan padu kepada kerajaan dan menyambut baik pelbagai dasar seperti bantuan-bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri.
Katanya, kerajaan negeri telah menyediakan pelbagai bantuan kepada rakyat pelbagai etnik di negeri ini.
"Antaranya kerajaan negeri memberikan bantuan RM300 setiap bulan selama 12 bulan kepada rakyat golongan miskin di Negeri ini. Selain itu para peniaga kecil, peniaga gerai-gerai jualan yang berdaftar dan berlesen juga diberikan bantuan" jelasnya.
Tambahnya, anak-anak yang bersekolah juga diberi pelbagai bantuan termasuk kos penerbangan pelajar institut pengajian tinggi awam dan swasta
dari Sabah yang belajar di Semenanjug.
Ini katanya, membuktikan kerajaan megeri prihatin, bertanggungjawab dan tahu membela nasib rakyat.
Mengenai perayaan Natal, Ghani berkata, seperti juga perayaan-perayaan yang lain sememangnya sudah menjadi rutin masyarakat di negeri ini yang berbilang bangsa, suku kaum, peringkat umur dan agama merayakannya bersama.
Comments