top of page
Wartawan Nabalu News

NGO berperanan penting bantu bangunkan komuniti luar bandar: Munirah


Munirah (tengah), Shainim (dua dari kiri), Dr.Rizoh (dua dari kanan) bergambar bersama selepas majlis itu.

30 Januari 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Ahli Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah Majilis berkata kejayaan pelaksanaan projek Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia – Agenda Matlamat Pembangunan Lestari (APPGM-SDG) di Kg. Sayap membuktikan peranan penting badan-badan bukan kerajaan (NGO) dalam membangunkan komuniti setempat.


Sehubungan itu beliau berharap lebih banyak lagi NGO dan badan-badan korporat yang lain tampil untuk membantu masyarakat yang memerlukan bantuan terutamanya di kawasan luar bandar.


"Kita berharap lebih banyak lagi projek-projek pembangunan komuniti seumpama ini dilaksanakan oleh APPGM-SDG atau pihak kerajaan melalui kolaborasi dengan badan-badan NGO," katanya.


Munirah menerima cenderahati daripada Dr.Rizoh (kanan).

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan projek pembangunan komuniti APPGM-SDG, anjuran Kelab Kebajikan Kadamaian Kota Belud, di Kg. Sayap, kelmarin.


Projek pembangunan komuniti melibatkan penambahbaikan sistem air graviti itu merupakan projek pertama dilaksanakan dibawah dana APPGM-SDG.


Pengerusi Kelab Kebajikan Kadamaian Kota Belud Shainim Epin berkata, kelab itu akan terus memantau pengurusan sistem air graviti kampung itu sehingga Jawatankuasa Pengurusan Air Graviti dapat mengendalikan kemudahan itu sepenuhnya.


“Kelab Kebajikan Kadamaian amat bertuah kerana dipilih menjadi rakan strategik program APPGM-SDG bagi tahun 2021,” katanya.



Sementara itu Pengurus Projek APPGM-SDG Parlimen Kota Belud Dr. Rizoh Bosorang berterima kasih atas sokongan dan kerjasama semua pihak sehingga projek itu siap.


Beliau berkata, penduduk kampung itu yang bergantung sepenuhnya kepada bekalan air paip graviti sering menghadapi gangguan kemudahan air terutamanya musim kemarau.


“Oleh itu saya berharap dengan siapnya projek ini dapat menambah baik sistem tadahan air dan meningkatkan kualiti sumber air paip graviti bagi kegunaan penduduk dan pelancong.


“Ia sekaligus meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan penduduk melalui sumber air yang lebih bersih,” katanya.


Wakil penduduk kampung Kisoh Gembiar juga turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak APPGM-SDG, Pejabat Parlimen Kota Belud dan NGO atas usaha meningkatkan kualiti paip graviti di Kg. Sayap.



Comments


bottom of page