Kelab Kebajikan Komuniti Rina Jainal atau KERJA untuk bantu masyarakat

28 Mac 2025
TAWAU: Kelab Kebajikan Komuniti Rina Jainal atau KERJA yang merupakan pertubuhan bukan kerajaan (Ngo) di bawah naungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.70 Kukusan, Datuk Rina Jainal, kini mempunyai lebih 60 cawangan sejak ditubuhkan.
Menurutnya, penubuhan KERJA bertujuan membantu komuniti di kawasan Kukusan dan sekitarnya serta berdaftar secara rasmi dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
“KERJA kini mempunyai lebih 60 cawangan yang dianggotai antara 30 hingga 50 orang bagi setiap cawangan untuk memenuhi keperluan kebajikan sesebuah komuniti memerlukan,”katanya.
Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Sabah berkata, KERJA giat melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan untuk mendekati golongan sasar.
Katanya, antara yang dilakukan adalah kegiatan kesukarelawanan yang sememangnya sinonim dengan kebajikan komuniti, khususnya membantu mengenal-pasti golongan tercicir menerima bantuan.
“Penting untuk sesebuah organisasi atau pasukan itu saling membantu kerana kita menyedari tidak semua rakyat bernasib baik dan ada di antara mereka memerlukan bantuan,”katanya pada majlis berbuka puasa dan menyampaikan sumbangan kepada 42 riders dari DUN Kukusan dan sekitar Tawau di sini, semalam.
Beliau berharap sumbangan yang diberikan itu sedikit sebanyak dapat meringankan kos persiapan menyambut hari raya.
Rina berkata, golongan riders dan pemandu e-hailing merupakan kumpulan masyarakat yang wajar disantuni kerana mereka cukup bekerja keras dalam memberikan perkhidmatan untuk memudahkan urusan masyarakat.
Sempena majlis itu juga, katanya, pihaknya mengambil peluang menyampaikan maklumat berkenaan bantuan-bantuan daripada kerajaan negeri, termasuk mendaftarkan penyertaan mereka dalam Kelab KERJA.
Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa membantu pelbagai golongan rakyat, termasuk riders menerusi program Sentuhan Kasih Rakyat 2025 (SYUKUR).
Comments