Kelab Permotoran KB4WDC meriahkan perkhemahan hari keluarga di Eco-Camp Lompios
8 Januari 2025
KOTA BELUD: Kelab Permotoran Kota Belud 4 Wheel Drive Club (KB4WDC) telah menganjurkan aktiviti perkhemahan keluarga yang berlangsung di Eco-Camp KOTAMU, Kota Belud, pada 31 Disember 2024 hingga 1 Januari 2025.
Program ini disertai oleh 20 ahli kelab bersama keluarga mereka.
Menurut Pengerusi KOTAMU, Janus Tioon, Eco-Camp KOTAMU Lompios semakin mendapat perhatian sebagai destinasi pelancongan santai dan tempat aktiviti keluarga.
"Kawasan ini menawarkan ketenangan dan kemudahan lengkap, menjadikannya pilihan ideal untuk aktiviti riadah seperti perkhemahan dan sambutan keluarga," katanya ketika dihubungi.
Beliau juga menyatakan bahawa Eco-Camp ini kini menarik pengunjung dari luar daerah Kota Belud, yang menjadikannya sebagai pusat rekreasi yang semakin popular.
Ahli kelab KB4WDC, Arman Mansah, berkongsi pengalaman menarik sepanjang aktiviti tersebut.
"Tempat ini sangat selesa dan bersih. Udara yang segar dan suhu sejuk pada waktu malam menambahkan keseronokan berkhemah bersama keluarga," ujarnya.
Tambah Arman, kelab mereka bercadang untuk memilih Eco-Camp Lompios sekali lagi sebagai lokasi sambutan hari keluarga kelab pada masa akan datang.
Comments