top of page
nabalunews

Kelarai, kraftangan hasil rimba, warisan budaya Orang Asli



17 Oktober 2024


TANJUNG MALIM: Kelarai ialah sejenis kraftangan tradisional yang diperbuat daripada hasil rimba, kebiasaannya menggunakan daun mengkuang, buluh, atau rotan sebagai bahan utama.


Kraftangan ini popular dalam kalangan masyarakat Orang Asli dan menjadi sebahagian daripada warisan budaya mereka.


Di Kampung Orang Asli (KOA) Sungai Pragin, Tanjung Malim, Perak, pembuatan kelarai diketuai oleh Tok Batin Ajid, seorang ketua kampung yang dihormati di kalangan masyarakat Orang Asli Sungai Pragin.


Terdapat 10 jenis kelarai yang dihasilkan di kampung ini, setiap satunya mempunyai motif dan corak tersendiri.


Motif-motif ini sering kali diinspirasikan daripada alam semula jadi seperti tumbuh-tumbuhan, haiwan, dan bentuk geometri tradisional.


Setiap motif melambangkan identiti serta budaya yang diwarisi turun-temurun oleh masyarakat setempat.


Proses pembuatan kelarai memerlukan kemahiran tangan yang tinggi dan kesabaran kerana setiap helai daun atau jalur rotan perlu disusun dengan teliti untuk membentuk corak yang diinginkan.


Kraftangan ini biasanya digunakan dalam pembuatan barang-barang seperti tikar, bakul, dan hiasan rumah.


Melalui usaha penduduk Kampung Orang Asli Sungai Pragin, kelarai bukan sahaja dipelihara sebagai warisan budaya, tetapi juga menjadi sumber pendapatan kepada penduduk kampung.


Seni kraftangan berasaskan hasil hutan ini turut menarik minat pelancong serta pencinta seni kraftangan untuk mengenali dan menghargai keunikan kraftangan hasil rimba ini.


Bagi memastikan seni kraftangan tradisional Orang Asli ini tidak lapuk ditelan zaman, program "Memperkasa Budaya Orang Asli" yang bertujuan untuk memastikan seni kraftangan tradisional masyarakat Orang Asli terus diwarisi generasi akan datang, diadakan pada 13 Oktober yang lalu di Kampung Orang Asli Perangin.


Program ini dijayakan dengan kerjasama pensyarah dan para pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), serta penduduk kampung.


Antara aktiviti yang diadakan dalam program tersebut termasuklah latihan membuat aksesori daripada jelai, menganyam kelarai bermotifkan diamond, dan sesi motivasi yang bertujuan untuk memberi inspirasi serta sokongan kepada masyarakat setempat, terutamanya generasi muda.


Penduduk kampung, termasuk Tok Batin dan semua yang terlibat, menunjukkan semangat yang tinggi dan menjadikan program ini berjalan dengan lancar dan penuh kejayaan.


Suasana perkampungan yang indah, dengan udara yang segar serta persekitaran bukit-bukau yang menghijau, memberikan latar belakang yang sesuai bagi program yang bukan sahaja memartabatkan warisan budaya tetapi juga memupuk perpaduan dan semangat kerjasama antara komuniti Orang Asli dan warga UPSI.


Keindahan dan kedamaian kampung tersebut menambahkan lagi keberkesanan program dalam menghidupkan serta mengekalkan tradisi kraftangan Orang Asli.


Program ini adalah satu daripada inisiatif di bawah Koperasi Orang Asli Perak dengan kerjasama Persatuan Orang Asli Perak dan UPSI.


Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI Dr. Rosliah Kiting berkata program ini penting bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan Orang Asli mengenai keunikan budaya mereka.


Katanya antara usaha yang dilakukan ialah menukarkan pakaian dan hiasan tradisional yang dahulunya diperbuat daripada daun kepada kain yang lebih tahan lama.


"Inisiatif ini bukan sahaja memastikan warisan tradisi terus dipelihara, tetapi juga menambah baik kualiti dan ketahanan produk budaya tersebut.


Selain itu, usaha ini turut memberi tumpuan kepada menarik minat generasi muda Orang Asli agar mereka tidak melupakan budaya nenek moyang mereka. Dengan melibatkan generasi muda, warisan budaya Orang Asli diharap dapat diteruskan dari satu generasi ke generasi seterusnya," katanya ketika dihubungi Nabalu News.


Dr. Rosliah berkata latihan pembuatan kraf tangan yang diadakan juga bertujuan untuk memupuk nilai keusahawanan dalam kalangan masyarakat Orang Asli.


"Melalui kemahiran ini, mereka diharap dapat menceburi bidang keusahawanan, sekaligus melahirkan usahawan yang berasaskan budaya Orang Asli.


"Budaya Orang Asli sering kali kurang disebarkan kepada masyarakat umum dan hanya individu tertentu yang memiliki kemahiran untuk membuatnya.


"Oleh itu, latihan ini diadakan untuk membolehkan semua lapisan masyarakat OA menguasai kemahiran ini. Sebagai contoh, kemahiran membuat hiasan tradisional seperti dalai dan kelarai kini boleh diajar kepada lebih ramai orang. Dengan cara ini, kebudayaan Orang Asli dapat disebarkan dengan lebih meluas dan dipelihara untuk masa depan," katanya.


Bagi penyelaras program ini, Datin Sara Abu, sesi ini dapat melestarikan seni budaya Orang Asli.


Jelas beliau, usaha memperkasakan seni kraf tangan Orang Asli boleh memberikan manfaat kepada masyarakat Orang Asli, alam sekitar, dan juga generasi muda.


Ini kerana seni dan budaya Orang Asli merupakan warisan yang sangat penting, bukan sahaja bagi komuniti mereka tetapi juga bagi seluruh negara.


"Memelihara kelestarian seni ini bermaksud memastikan tradisi dan amalan budaya Orang Asli tidak hilang ditelan arus kemodenan," katanya.


Katanya kraftangan Orang Asli adalah sebahagian daripada identiti budaya mereka.


Memperkasakan seni ini bermakna memberikan lebih banyak peluang kepada pengusaha kraf Orang Asli untuk mengembangkan bakat mereka dan membawa hasil seni ini ke peringkat yang lebih tinggi.


"Selain daripada memelihara seni budaya, seni kraf Orang Asli juga berpotensi untuk menjana pendapatan bagi komuniti mereka. Produk-produk kraftangan Orang Asli boleh dipasarkan sebagai barang-barang seni bernilai komersial," katanya.


Program ini juga menyumbang kepada pemeliharaan alam persekitaran hutan yang menjadi sumber asli bahan kraftangan.


"Kebanyakan seni kraf Orang Asli.bergantung kepada sumber asli dari hutan seperti rotan, buluh, daun-daun, dan kayu-kayan.


Sehubungan itu katanya, adalah penting untuk memelihara hutan yang menjadi sumber bahan-bahan kraftangan ini.


Ini bukan sahaja untuk memastikan kesinambungan kraf tangan Orang Asli

tetapi juga bagi memastikan alam sekitar tetap terpelihara untuk generasi akan datang.


Pemuliharaan hutan adalah penting bagi memastikan bahan-bahan semula jadi ini tidak pupus dan dapat terus dimanfaatkan.


Bagi memastikan seni kraftangan Orang Asli tidak hilang begitu sahaja, ilmu dan kemahiran ini perlu diturunkan kepada generasi muda Orang Asli, katanya.


"Dengan adanya pendidikan dan bimbingan, generasi belia dapat mempelajari dan menghargai seni kraf ini, seterusnya meneruskan legasi ini," katanya


Menurut Datin Sara lagi hasil kraftangan ini akan dipasarkan di Pusat Sengoi Kerawat, di Simpang Pulai di bawah Koperasi Orang Asli Perak (KOAP).

Komentar


bottom of page