Kelewatan pelaksanaan projek perlu dirujuk kepada pegawai-pegawai pelaksana jabatan yang berkaitan: Ghani
22 Januari 2025
NABAWAN: Kelewatan pelaksanaan projek tidak seharusnya diletakkan kepada bahu wakil-wakil rakyat di kawasan berkenaan sebaliknya ia perlu dirujuk kepada pegawai-pegawai pelaksana jabatan yang berkaitan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin, berkata, kebanyakan kelewatan pelaksanaan projek disebabkan masalah teknikal yang sepatutnya diselesaikan oleh jabatan-jabatan yang berkaitan.
Katanya, apabila berlaku kelewatan pelaksanaan projek, penduduk di kawasan berkenaan menuding jari kepada pemimpin politik terutama wakil rakyat.
"Walhal ia bukanlah tanggungjawab wakil rakyat sepenuhnya tetapi ia adalah tanggungjawab pegawai-pegawai pelaksana membuat yang membuat kertas kerja" katanya selepas mengadakan lawatan santai di lima buah kampung di Mukim Pemuntarian pada Sabtu.
Kampung yang dilawati adalah Kampung Kuala Pemuntarian Takul, Kampung Ulu Mosopoh, Kampung Salarom Baru, Kampung Nakuyung dan Kampung Pemuntarian.
Ghani yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) mengulas rungutan penduduk kampung mengenai kelewatan pelaksanaan projek di kawasan ini.
Menurut Ghani, selain kelewatan pelaksanaan projek, beliau juga menerima rungutan penduduk bahawa terdapat pemindahan projek ke kampung lain.
"Sebagai contoh, projek bantuan rumah PPRT sepatutnya dilaksanakan di kampung A atas nama penduduk di kampung A tetapi dipindahkan ke kampung B dan masih atas nama penduduk kampung A" jelasnya.
Ini katanya, menimbulkan masalah kepada penama di kampung A kerana apabila ia memohon bantuan rumah, namanya sudah tersenarai sebagai penerima di kampung B menyebabkan ia tercicir daripada menerima bantuan berkenaan.
Sehubungan dengan ini beliau meminta pemimpin di peringkat kampung agar memantau dan meneliti setiap projek yang dilaksanakan di kampung masing-masing agar perkara seumpama ini tidak berlaku.
"Jika berlaku demikian ia tiada kaitan dengan wakil rakyat kerana yang melaksanakannya adalah Pegawai-Pegawai yang dipertanggungjawabkan" katanya.
Tambahnya, wakil rakyat atau Menteri di peringkat atasan hanya mengumumkan kelulusan tetapi yang melaksanakan adalah pegawai yang berkaitan.
Comments