nabalunews
Kemalangan babitkan empat kenderaan di Jalan Kimanis-Keningau, dua mangsa tersepit
18 Disember 2024
KENINGAU: Satu kemalangan jalan raya melibatkan empat kenderaan berlaku di Jalan Kimanis-Keningau semalam.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah menerima panggilan kecemasan pada jam 1.23 petang dan tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian.
Komander Operasi, PBK II Norhasrita Abdul Manan melaporkan insiden itu melibatkan sebuah lori dua tan, Toyota Avanza, Toyota Hilux, dan Toyota Fortuner.
Akibat kemalangan, dua mangsa tersepit di dalam lori, manakala dua lagi mengalami kecederaan ringan.
Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa tersepit dan memberikan rawatan awal sebelum kesemua mangsa dihantar ke hospital menggunakan ambulans EMRS dan KKM.
Operasi ditamatkan pada jam 3.22 petang selepas memastikan kawasan selamat.
Pihak polis dan KKM turut hadir bagi membantu operasi di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Keningau, PKPgB Sharudy Delamin, meminta pemandu agar lebih berhati-hati dan mematuhi peraturan jalan raya.
Comments