Kemalangan Jalan Raya: Remaja OKU Meninggal Dunia
- nabalunews
- 6 minutes ago
- 1 min read

20 April 2025
BEAUFORT: Seorang remaja Orang Kurang Upaya (OKU) dilaporkan meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan di Jalan Nukuhan, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 7.15malam itu, remaja lelaki berusia 16 tahun terbabit disahkan meninggal dunia dilokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu, Zulhalim Abidin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 7.26 malam.
Katanya, sepasukan lima anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.
“Kemalangan melibatkan sebuah motorsikal jenis Honda EX5 dan sebuah kereta Perodua Viva. Dalam kejadian itu motosikal mangsa dilaporkan terbabas dan terbakar selepas berlanggar demgan kereta berkenaan.
“Penunggang motorsikal telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian, manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pasukan Bomba bertindak memadam kebakaran motorsikal menggunakan satu aliran Hose Reel dari sumber air jentera.
“Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.32 malam,” katanya.
Comments