Kemalangan maut di Jalan Semporna-Tawau ragut enam nyawa
13 Januari 2025
SEMPORNA: Enam maut, termasuk seorang bayi berusia enam bulan dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Semporna-Tawau semalam.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Sabri Zainol berkata, nahas itu berlaku selepas sebuah kereta yang dinaiki mangsa memasuki laluan bertentangan.
Jelas beliau, kereta dipandu seorang lelaki berumur 34 tahun yang membawa enam penumpang berumur antara enam bulan hingga 82 tahun telah bertembung dengan sebuah pacuan empat roda dan kenderaan pelbagai guna (MPV).
“Pemandu kereta mengalami kecederaan parah, lima penumpang maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di unit kecemasan Hospital Semporna. Semua mangsa yang terlibat adalah ahli keluarga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Sabri, pacuan empat roda itu dipandu oleh seorang lelaki berusia 31 tahun, manakala MPV dipandu lelaki berumur 29 tahun. Kedua-dua kenderaan itu dalam perjalanan dari Semporna ke Tawau, manakala kereta yang dinaiki mangsa datang dari arah bertentangan.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna, Inspektor A. Hemkkumar di talian 012-3650021 atau 089-782020.
Opmerkingen