KEMAS nafi dakwaan pegawai ditahan SPRM
- nabalunews
- 8 hours ago
- 1 min read

26 April 2024
KOTA KINABALU: Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berhubung penahanan seorang pegawainya di Sandakan seperti dilaporkan beberapa media tempatan pada Jumaat.
Kemas dalam satu kenyataan memaklumkan, tiada pegawai yang ditahan atau terlibat dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kes yang dimaksudkan.
“Laporan bertajuk “Pegawai KEMAS ditahan SPRM dipercayai terima rasuah RM40,000” adalah tidak tepat dan boleh menjejaskan reputasi serta integriti Kemas secara keseluruhan,” katanya.

Sehubungan itu katanya, media terbabit dituntut menarik semula laporan berkenaan dan menjernihkan keadaan bagi mengelakkan persepsi negatif masyarakat terhadap pegawai Kemas.
Jabatan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu berkata, pihaknya memandang serius penyebaran maklumat tidak sahih serta akan mempertimbangkan tindakan sewajarnya bagi melindungi reputasi jabatan.
“Kemas kekal komited terhadap prinsip integriti, ketelusan dan tadbir urus yang baik dalam pelaksanaan tanggungjawabnya,” katanya.
Terdahulu, beberapa media tempatan melaporkan seorang pegawai Kemas ditahan reman tujuh hari oleh SPRM kerana disyaki menerima rasuah berjumlah RM40,000 berkaitan projek pembinaan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya.
Commentaires