Kematian gajah di Felcra Danum disiasat Jabatan Hidupan Liar Sabah
21 Disember 2024
LAHAD DATU: Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah sedang menyiasat punca kematian seekor gajah jantan dewasa yang ditemui pekerja ladang di kawasan Ladang Felcra Danum, Jalan Silam, di Lahad Datu, Khamis lalu.
Menurut laporan Harian Metro, bangkai gajah itu ditemui kira-kira jam 1 tengah hari sebelum dilaporkan kepada penolong pengurus ladang berkenaan.
Pegawai Hidupan Liar Lahad Datu, Hairulnizam Hasnan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 5.54 petang pada Khamis.
Katanya, Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah telah dimaklumkan dan sedang menyiasat punca kematian gajah berkenaan.
"Sebaik menerima maklumat itu, kami menghantar pasukan ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan awal.
"Pemeriksaan akan dilakukan bagi mengenal pasti sama ada kematian berpunca daripada sebab semula jadi atau ada elemen lain yang terbabit," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Katanya, kejadian ini menimbulkan kebimbangan terhadap ancaman yang dihadapi oleh populasi gajah Borneo.
"Spesis gajah kini semakin terancam di Sabah. Pihak berkuasa meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini untuk tampil membantu siasatan," katanya.