top of page
Wartawan Nabalu News

Kembara Kenali Borneo: Agong, Permaisuri saksikan kepelbagaian budaya etnik Sabah


7 Sept 2023


PENAMPANG: Perkampungan budaya Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di sini, menjadi destinasi persinggahan konvoi Kembara Kenali Borneo yang memasuki hari kelima dan terakhir di Sabah hari ini.


Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang tiba kira-kira 9.30 pagi, kelihatan ceria melihat sendiri budaya daripada pelbagai etnik di Sabah, malah berkenan menyertai aktiviti budaya di perkampungan itu.


Di Walai Bisaya, Kumpulan Seni Budaya Suasa, Biro Kebudayaan dan Kesenian, Persatuan Bisaya Bersatu Sabah mempersembahkan lagu ‘Joget Pahang’ menggunakan alat muzik tradisional kulintangan dan gong, menarik perhatian Al-Sultan Abdullah yang bertepuk tangan seiring rentak lagu itu.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melihat cara makan butod yang ditunjukkan oleh Ewon.

Di Rumah Tradisi Murut, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan menyertai aktiviti menyumpit menggunakan alat sumpitan suku kaum Murut sebelum menyaksikan demonstrasi lompatan lansaran oleh kakitangan perkampungan budaya itu.


Tunku Azizah juga berkenan menyertai demonstrasi masakan tradisi bosou ikan goreng. Bosou adalah makanan seakan-akan pekasam dan makanan ini menjadi makanan tradisi masyarakat Sabah terutamanya kaum Kadazandusun serta Murut.


Semasa lawatan itu, Seri Paduka berdua turut berkenan bersantap bersama rakyat, sebelum berangkat pada 11.15 pagi meneruskan Kembara Kenali Borneo ke Sipitang.


Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick yang juga Ahli Parlimen Penampang dan Presiden KDCA Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.


Pada Majlis Santapan Malam Kerajaan Negeri Sabah Sempena Kembara Kenali Borneo malam tadi, Al-Sultan Abdullah bertitah rakyat Sabah yang terdiri 33 kumpulan peribumi dan berkomunikasi dalam lebih 50 bahasa serta 80 dialek etnik, merupakan realiti amat menakjubkan.


KDCA, terletak kira-kira sembilan kilometer dari Kota Kinabalu adalah lokasi tetap acara kemuncak Pesta Kaamatan pada 30 dan 31 Mei sejak lebih 30 tahun lepas.


Lokasi ikonik juga sering menjadi tumpuan orang ramai untuk menyaksikan pentas akhir Unduk Ngadau atau ratu cantik yang menampilkan barisan ‘sumandak’ Sabah daripada pelbagai daerah berentap merebut gelaran Ratu Unduk Ngadau Kaamatan.


Terdahulu, ribuan rakyat Sabah menantikan keberangkatan tiba Seri Paduka berdua di dalam serta luar kawasan majlis, malah sepanjang perjalanan ke lokasi, bahu jalan turut dibarisi masyarakat setempat yang melambai tangan sambil merakam video apabila rombongan diraja itu melalui kawasan mereka.


Seri Paduka berdua dan konvoi Kembara Kenali Borneo berangkat menuju Sipitang untuk Majlis Santapan Tengah Hari Bersama Rakyat di Masjid Sahabat, Sindumin sebelum melintasi sempadan Sabah-Sarawak.


Pasangan Diraja dan konvoi itu dijadual berangkat ke Lawas Waterfront di Lawas, Sarawak sebelum bergerak ke Brunei mengakhiri hari kelima kembara berkenaan hari ini.


Kembara Kenali Borneo dari 3 hingga 13 Sept bermula di Tawau, Sabah dan berakhir di Telok Melano, Sarawak sejauh 2,154 kilometer menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei. - Bernama

Comments


bottom of page