Kemenangan Bukan Kebetulan: UPKO PDM Taginambur Bersiap Mantap Hadapi PRN17
- nabalunews
- 2 days ago
- 2 min read

13 April 2025
KOTA BELUD : “Bukan senang untuk menang, bukan susah untuk kalah.”
Pesanan tegas ini bergema dalam Mesyuarat Khas Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taginambur semalam, menjadi ingatan serius kepada semua jentera Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) untuk terus bekerja keras menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Ketua PDM Taginambur, Saikom Watis, menggesa semua ketua cawangan, pergerakan Wanita, Pemuda dan Generasi Muda (GEM) supaya bersatu tenaga mempertahankan kejayaan besar yang dicapai semasa PRN16. Ketika itu, PDM Taginambur menyumbang kemenangan mutlak empat saluran kepada ADUN Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.

Dengan hampir 3,000 pengundi dan 12 cawangan UPKO berdaftar, Taginambur kini menjadi lokasi strategik yang tidak boleh dipandang ringan dalam menentukan haluan politik Kadamaian.
Kehadiran Timbalan Ketua Bahagian UPKO Kota Belud, Carlye Lajimin, dan Ketua Pemuda UPKO Kota Belud, Jolyhame Saran, menambahkan lagi aura kesiapsiagaan dalam mesyuarat khas ini.
Carlye memberi taklimat menyeluruh berkaitan penyusunan jentera pilihan raya, dari struktur organisasi hingga kepada penyelarasan tugas petugas parti menjelang PRN17.
Menurutnya, penyusunan awal adalah kunci bagi memastikan perjalanan gerak kerja parti menjadi lebih lancar dan efisien. Ini termasuk pembentukan jawatankuasa bertindak yang akan menjadi tunjang kekuatan di setiap saluran dan kawasan mengundi.
Sementara itu, Jolyhame menekankan peranan penting generasi muda dalam meneruskan legasi kepimpinan akar umbi. Beliau menyeru para belia agar tidak hanya menjadi pemerhati, tetapi turut serta belajar dan memimpin di peringkat kampung.
“Kita tidak boleh membiarkan kekosongan berlaku. Anak muda harus bersedia mengambil alih tugas dan tanggungjawab, kerana mereka adalah pewaris masa depan kampung dan parti,” ujarnya.
Mesyuarat turut diserikan dengan sesi soal jawab yang mengupas pelbagai isu semasa berkaitan pembangunan kampung, keperluan pengundi serta strategi kempen PRN17. Beberapa penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang turut dibincangkan bagi menjamin kesinambungan kemenangan.
Dalam nada yang sama, Johnny Gilong, salah seorang pemimpin yang hadir, menyeru agar semua ahli parti menolak perpecahan dalaman.
“Kita perlu bersatu. Ketepikan isu peribadi dan jangan beri ruang kepada suara-suara sumbang yang boleh melemahkan gerakan kita,” tegasnya.
Antara cawangan yang hadir termasuk Bukit Bendera, Singgahmata, Tamalang, Tuguson, Naragai, Pinasang Moroulu, Taginambur Batu 10, Tambulaung, Soronsob, Bahab, Pomotodon dan Podos.
Kesemua cawangan itu kini diberi tanggungjawab untuk menggandakan usaha bagi mempertahankan kemenangan UPKO di Kadamaian dalam PRN akan datang.
Comments