top of page

Kementerian Komunikasi Dapat Kerjasama Baik Penyedia Perkhidmatan Media Sosial- Fahmi

nabalunews

13 Februari 2025


KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi menerima kerjasama baik daripada penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial, sama ada yang telah dilesenkan atau masih dalam proses, dalam usaha memastikan ekosistem rangkaian internet yang lebih selamat dan lestari buat pengguna.


Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata sebagai contoh laman YouTube telah menurunkan 5,115 kandungan antaranya iklan-iklan judi, daripada 5,167 kandungan telah dipohon untuk diturunkan bagi tempoh 1 Jan hingga tengah malam tadi.


“Ini menunjukkan bahawa walaupun Google pada masa ini belum dilesenkan, kita dapat melihat kerjasama yang sangat baik diberikan. Berbeza dengan Telegram, di mana secara keseluruhannya hanya 39 peratus daripada permintaan diuruskan.


“Di sini kita melihat bahawa platform-platform mempunyai keupayaan yang berbeza. Saya difahamkan jumlah pasukan yang melakukan content moderation untuk Telegram adalah sangat kecil berbanding dengan platform lain.


“Kita bukan sahaja melihat kerangka kawal selia itu penting, tetapi juga memahami konteks operasi bagi platform-platform ini dan membantu mereka memperkemas serta mempermudah tindakan yang perlu diambil,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.


Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Wong Shu Qi (PH-Kluang) berhubung meningkatkan kecekapan bagi mencegah isu judi haram dalam talian.


Fahmi berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mewajibkan perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia, perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi, bermula 1 Jan 2025.


Beliau berkata langkah itu bertujuan memastikan setiap penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial yang berdaftar mematuhi obligasi di bawah Akta 588 serta mengamalkan Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) diterbitkan MCMC, seterusnya meningkatkan akauntabiliti terhadap kandungan dan interaksi dalam talian yang disediakan kepada pengguna.


Selain itu, Fahmi berkata 5,026 laman sesawang judi telah disekat dengan kerjasama penyedia perkhidmatan Internet dari 2022 hingga 1 Feb lepas, dan 224,403 kandungan perjudian di platform media sosial telah diturunkan bagi tempoh sama.


Beliau berkata MCMC melaksanakan pemantauan proaktif bagi memastikan persekitaran internet di negara ini bebas daripada kandungan dalam talian yang melanggar undang-undang, termasuk perjudian dalam talian.


Fahmi berkata MCMC di bawah bidang kuasa Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) komited memberikan kerjasama kepada polis dari segi penurunan kandungan media sosial, sekatan laman sesawang dan bantuan teknikal seperti pembekalan maklumat dan analisis forensik digital bagi mempercepatkan proses siasatan yang berkaitan dengan kesalahan perjudian dalam talian.


Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan asal Azahari Hasan (PN-Padang Rengas) mengenai langkah kementerian membanteras aktiviti judi dalam talian yang semakin berleluasa.-BERNAMA

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page