Kempen Derma Darah di Kadamaian Square, 16 Mei
12 Mei 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA BELUD: Orang ramai khususnya di sekitar sini dijemput hadir beramai-ramai menjayakan Kempen Derma Darah, pada 16 Mei ini, di Dewan Kadamaian Square, Taginambur.
Pengerusi Penganjur Carlye Lajimin berkata, ia bertujuan untuk membantu para pesakit yang memerlukan bekalan darah dan juga menambah Tabung Darah Hospital.
“Kami mensasarkan 50 penderma dan 20 orang penderma awal akan menerima beras 5kg, sebagai penghargaan kepada mereka.
“Kempen derma darah ini diadakan sempena Mesyuarat Tritahunan UPKO Bahagian Kota Belud dan Rumah Terbuka Raya Kaamatan Kadamaian,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mesyuarat persediaan sambutan Raya Kaamatan Kadamaian yang dipengerusikan Maikat Gindara, turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick, di Pusat Khidmat Adun Kadamaian, di sini, hari ini.
Kempen derma darah itu dianjurkan UPKO Bahagian Kota Belud dengan kerjasama Kelab Kebajikan Kadamaian dan Tabung Darah Hospital Kota Belud.
Carlye yang juga Timbalan Ketua Bahagian UPKO Kota Belud berkata, kempen derma darah adalah program pengisian wajib yang mereka laksanakan setiap kali mengadakan mesyuarat bahagian.
“Setiap penderma mestilah telah menerima vaksin lengkap,” katanya dan menambah kempen derma darah itu akan bermula dari jam 8 pagi hingga 12 tengahari.
Comments