top of page

Kempen Mari Beli Lokal Ramadan Raya, platform promosi produk usahawan tempatan: Ewon

Wartawan Nabalu News

17 Mac 2025


KUALA LUMPUR: Kempen Mari Beli Lokal Ramadan Raya anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui platform MyMall dengan kerjasama UDA Holdings menjadi salah satu platform utama dalam mempromosikan produk usahawan tempatan.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata kempen ini merupakan acara tahunan KUSKOP bagi menggalakkan orang ramai membeli produk usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan.


“Kempen jualan ini bermula sejak 1 Mac lalu dan akan berlangsung sehingga 30 April ini, mensasarkan nilai jualan sebanyak RM5 juta.


“Dalam tempoh 15 hari pertama kempen ini, kita telah berjaya mencapai jualan sehingga RM2.6 juta. Ini merupakan perkembangan positif bagi usahawan PMKS dalam meraih pendapatan sempena bulan Ramadan,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Kempen Mari Beli Lokal Ramadan Raya 2025 di Oden, di sini, hari ini.


Menurut Ewon, sehingga kini seramai 2,857 usahawan telah berdaftar di bawah aplikasi MyMall, dan jualan terkumpul melalui platform tersebut sejak Oktober 2022 hingga Mac tahun ini telah mencecah RM10.819 juta.


Beliau berkata, KUSKOP akan terus mendukung usaha membangunkan usahawan PMKS, khususnya dalam membina ekosistem pasaran dalam talian, bukan sahaja melalui aplikasi MyMall tetapi juga menerusi platform digital lain seperti TikTok Shop Live.


“Setiap pembelian, walaupun kecil, akan memberi impak besar kepada usahawan tempatan serta membantu memperkukuh ekonomi domestik,” katanya.


Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Malaysia agar menyokong dan membeli produk tempatan menerusi kempen ini.


Pelbagai produk ditawarkan dalam talian, termasuk fesyen, makanan, peralatan rumah, kecantikan dan kesihatan. Kempen ini turut menampilkan penyertaan usahawan artis tempatan serta jenama terkenal seperti Kasurysh, Lima Waktu, Elrah Exclusive, Primavalet, The Makan Shoppe, Beubon, Shasya Habib dan Aris Burger.


Bagi menarik lebih ramai pengguna, MyMall turut menawarkan baucar RM20 bagi setiap pembelian melebihi RM100 dan baucar RM5 untuk pembelian pertama. Insentif ini bertujuan menggalakkan pembelian produk tempatan secara digital dengan lebih mudah dan pantas.


Ewon berharap kempen ini dapat meningkatkan kesedaran serta sokongan rakyat terhadap produk tempatan, sekaligus membantu memperkukuhkan daya saing usahawan Malaysia dalam pasaran digital.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page