top of page
nabalunews

Kempen setiap hari tiada beg plastik di Kota Kinabalu mulai esok

31 Julai 2024


KOTA KINABALU: Pengguna di bandar raya ini tidak lagi dibekalkan beg plastik setiap kali membeli-belah di pasar raya atau mana-mana premis yang mengambil bahagian dalam kempen ‘Hari-Hari Bawa Beg Bah’, bermula esok.


Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), menerusi satu kenyataan hari ini, memaklumkan kempen yang dilaksanakan setiap hari itu membabitkan semua premis pasar raya, hypermarket, kedai serbaneka, kedai rangkaian, farmasi, kedai runcit, kedai stesen minyak, bakeri dan kedai pakaian.


Katanya, mulai esok pihak premis tidak akan menyediakan beg plastik termasuk secara berbayar kepada pelanggan pada setiap hari, berbanding pada setiap Sabtu, Ahad dan Isnin dalam kempen sebelum ini.


“Ia adalah satu usaha DBKK untuk memelihara alam semula jadi bandar raya, mengurangkan pencemaran yang berpunca daripada beg plastik sekali guna, sekali gus melahirkan satu bandar raya yang boleh diwarisi oleh generasi akan datang,” kata kenyataan itu.


Kenyataan itu juga menyebut, DBKK seterusnya menyasarkan semua jenis premis perniagaan turut sama memberi sokongan dan menyertai kempen itu selepas ini.


Katanya, ia termasuk restoran makanan segera, kedai perkakasan, kedai aksesori kecantikan, kedai sukan dan lain-lain premis perniagaan.


Selain itu, katanya, kempen ‘Hari-Hari Bawa Beg Bah’ turut diperluaskan ke sebahagian pasar di bawah bidang kuasa DBKK iaitu Pasar Pekan Manggatal, Pasar Pekan Inanam dan Pasar Pekan Telipok yang membabitkan seramai 373 penjaja.


“Kempen ini disasar dilaksanakan sepenuhnya di semua pasar yang lain menjelang Oktober 2024.


Bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada penjaja pasar yang menjalankan perniagaan bahan mentah seperti ikan, daging dan makanan laut.


“Seluruh warga bandar raya Kota Kinabalu dan pengunjung dari luar daerah perlu menyediakan dan membawa beg guna semula atau beg mesra alam sendiri ketika membeli-belah atau membeli beg boleh digunakan semula yang disediakan pasar raya utama,” katanya.

Commenti


bottom of page