top of page
nabalunews

Kemudahan gelanggang latihan net Kriket pertama di Tawau dibuka secara rasmi


Andi Muhammad Suryady (tengah) menerima cendera kenangan daripada penganjur sempena perasmian Pertandingan Kriket Piala Datuk Andi Suryady, di sini, semalam.

28 Disember 2024 


TAWAU: Kemudahan Gelanggang Latihan Net Kriket pertama di daerah ini yang kini dibuka secara rasmi di Padang A Kompleks Sukan Tawau, diharap mampu menarik lebih ramai atlet baharu dalam sukan itu di Tawau dan Kalabakan.


Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, beliau membuat permohonan gelanggang tersebut kepada Kerajaan Negeri dua tahun lalu kerana terdapat keperluan mendesak bagi menyediakan kemudahan latihan untuk atlet kriket daerah ini.


Menurutnya, daerah Tawau dan Kalabakan banyak melahirkan atlet kriket berbakat yang berjaya mewakili negeri dan negara sehingga ke hari ini, namun, terpaksa berlatih dalam serba kekurangan akibat kekangan kemudahan latihan.


“Syukur kerana permohonan dua tahun lalu  diluluskan kerajaan negeri, sekaligus menjadi gelanggang kriket pertama diwujudkan di Tawau,"katanya yang melakukan inisiatif tersebut ketika memegang jawatan Pembantu Menteri Belia dan Sukan, ketika itu.


Justeru, beliau yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah amat berharap kemudahan berkenaan dapat mencungkil bakat-bakat baharu, khususnya dalam kalangan pelajar sekolah dan akhirnya menjadikan Tawau dan Kalabakan sebagai lubuk pemain hebat Sukan kriket.


"Kita juga berharap atlet yang dicungkil bakatnya itu nanti mampu bersaing di peringkat lebih tinggi dan mengharumkan nama negara,"katanya selepas merasmikan Pertandingan Kriket Piala YB Datuk Andi Suryady, di sini, semalam.


Menyentuh pertandingan itu, beliau berkata program itu julung kalinya dianjurkan dengan kerjasama Tawau Teachers Cricket Club dan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kalabakan.


Katanya, tujuan utama pertandingan adalah untuk mencari bakat baharu sebagai persiapan temasya Sukan Sabah (Saga) yang dijadual akan diadakan di Tawau pada tahun hadapan.





留言


bottom of page