top of page
nabalunews

Kemudahan pelancaran angkasa lepas di Sabah dijangka lonjak Malaysia sebagai peneraju teknologi


2 November 2024


KUALA LUMPUR: Pembinaan tapak pelancaran angkasa lepas di Sabah dijangka memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju teknologi di rantau ASEAN, kata Timbalan Menteri Ekonomi Ukraine, Taras Kachka.


Langkah ini bukan sahaja akan mempercepatkan perkembangan teknologi tinggi negara, malah akan memberi impak positif kepada ekonomi dan daya saing Malaysia di dunia.


Menurut Kachka, projek strategik ini akan membuka peluang pekerjaan yang luas, menarik bakat-bakat tempatan serta pakar dari seluruh dunia untuk ke Malaysia.


Di samping itu, inisiatif ini diharapkan dapat merancakkan pembangunan industri penerbangan dan aeroangkasa negara.


Tambah beliau, infrastruktur ini juga akan menarik minat pelabur asing yang ingin meneroka teknologi angkasa lepas di Malaysia, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan, terutama di Sabah.


"Oleh itu, setiap projek berteknologi tinggi bukan sahaja mencipta peluang pekerjaan malah membawa teknologi. Ini mengekalkan jurutera terlatih yang tinggi di dalam negara.


"Sekiranya terdapat tapak pelancaran ke angkasa lepas di sini (di Malaysia), rakyat dari seluruh dunia akan datang dan menyertai projek ini dan (ini akan) meletakkan Malaysia dalam kedudukan (untuk menjadi) peneraju teknologi ASEAN," katanya pada sidang media di sini hari ini, lapor Bernama.


Kerajaan Sabah memeterai perjanjian dengan syarikat Ukraine dan firma tempatan pada tahun lepas untuk mengkaji kebolehlaksanaan kemudahan pelancaran angkasa lepas di negeri itu.


Bagaimanapun, Kachka tidak memaklumkan kos pelaburan projek berkenaan.


Mengenai kemajuan kajian kebolehlaksanaan, katanya terdapat pertimbangan berbeza yang perlu diselesaikan seperti daya maju ekonomi, isu alam sekitar dan manfaat jangka panjang.


Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan Sabah komited untuk mendorong projek angkasa lepas ini.


"Kedua, kerajaan dan syarikat perlu mempunyai sumber yang cukup, kepakaran dan tenaga kerja terlatih," katanya.


Dalam perkembangan lain, Kachka berkata Ukraine menganggap Malaysia sebagai pintu masuk bagi memperluas kerjasama dalam segmen pesawat kawalan jauh (UAV) dan dron di rantau ASEAN.


Sambil mengakui kekuatan ekonomi digital Malaysia, beliau turut menyifatkan Malaysia sebagai negara paling maju di ASEAN dari segi prasarana dan semikonduktor bekalan alat ganti serta tenaga kerja mahir.


Sehubungan itu, perbincangan dan rundingan berkaitan potensi kerjasama sedang diusahakan oleh kedua-dua negara.

Commentaires


bottom of page