top of page
nabalunews

Kepakaran Space42 Dalam AI Berpotensi Tingkat Keupayaan Malaysia - Ahmad Zahid




17 November 2024


DUBAI : Kepakaran Space42, sebuah pusat inovasi teknologi angkasa yang terkemuka dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan teknologi sambungan satelit, berpotensi besar untuk memperkukuh keupayaan Malaysia, terutamanya dalam aspek pemantauan bencana alam serta respons kecemasan yang lebih pantas dan efisien.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkara keupayaan ini bukan sahaja dapat meningkatkan kesiapsiagaan negara dalam menghadapi cabaran bencana, tetapi juga menyumbang kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.


"Dengan teknologi canggih ini, kita bukan sahaja dapat memperkukuh infrastruktur komunikasi negara, malah kita juga akan dapat memastikan rakyat Malaysia terus menikmati akses digital yang lebih luas dan selamat," katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.


Pada Khamis, Ahmad Zahid bersama delegasi Malaysia mengadakan lawatan ke Space42 di Abu Dhabi, Emirianh Arab Bersatu (UAE). Space42 merupakan pusat inovasi yang memanfaatkan teknologi AI, komunikasi satelit dan analitik geospatial.


Program bersempena lawatan rasmi beliau selama tujuh hari ke UAE bermula 13 November itu menandakan langkah penting ke arah kerjasama yang lebih erat antara Malaysia dan UAE dengan memanfaatkan teknologi canggih untuk memacu pertumbuhan mampan, meningkatkan ketahanan serta memperkukuh kerjasama serantau.


“Melalui kerjasama strategik ini, saya optimis bahawa kita mampu membina masa depan di mana teknologi memainkan peranan penting dalam kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Insya-Allah,” katanya.


Dalam satu lagi hantaran, Ahmad Zahid berkata setibanya di Dubai hari ini, beliau telah mempengerusikan sesi ‘Pre-Council’ bersama delegasi Malaysia bagi membincangkan secara terperinci mengenai lawatan beliau di sini.


"Tumpuan utama kami adalah untuk memperkukuh kedudukan Malaysia dalam sektor halal global serta meneroka peluang strategik yang dapat memperhebat pengembangan industri ini di pasaran antarabangsa.


"Doakan semoga segala urusan kami di Dubai ini berjalan lancar seterusnya memberi impak positif kepada negara khususnya dalam memperkasakan industri halal Malaysia. Amin," katanya.


Ahmad Zahid dijadual merasmikan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) Dubai 2024 dan bertemu dengan pihak berkepentingan dalam sektor halal UAE sebagai usaha mempromosi dan menarik lebih ramai pelabur ke Malaysia.

Comments


bottom of page