top of page
nabalunews

Keperluan komuniti India Sabah tidak pernah dilupakan


James (kedua kiri), Nagaraju (kiri) dan yang lain pada acara menyalakan pelita atau Kuthu Vilakku pada majlis berkenaan.

17 November 2024


SANDAKAN: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk James Ratib, berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ramanan Ramakrishnan dalam masa terdekat untuk membincangkan keperluan semasa komuniti India di Sabah.


Katanya ini termasuk bantuan  Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) yang menerima geran RM100 juta setiap tahun daripada Kerajaan Persekutuan bagi membantu komuniti India negara ini.


James berharap, bantuan MITRA itu juga dapat disalurkan kepada komuniti India di Sabah yang memerlukan.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Deepavali 2024 anjuran Persatuan Gabungan Komuniti India Sabah di Sandakan Hotel pada Sabtu yang turut dihadiri Presiden Persatuan Gabungan Komuniti India Sabah, Datuk A.Nagaraju.


Turut hadir, Penaung Persatuan Gabungan Komuniti India Sabah, Genasan Muniandy dan Rajasegram Shanmugam serta Bendahari persatuan itu, Abdul Baree Habeeb serta masyarakat India dari sekitar Sandakan dan Beluran.


Pada majlis itu, James yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut turut menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada beberapa penerima dari ladang sekitar Pamol, Beluran.


Mengenai sambutan itu, James berkata, kehadiran pelbagai lapisan masyarakat juga memperlihatkan keharmonian dan perpaduan yang bukan sahaja menjadi contoh di negeri Sabah tetapi juga di seluruh negara.


Sementara itu, James memuji peranan komuniti India di Sabah yang menabur bakti kepada negeri ini termasuk mereka yang bekerja dalam bidang professional.


Pihaknya juga akan membawa ke Kabinet negeri Sabah berkaitan keperluan komuniti India Sabah yang memerlukan perhatian sewajarnya agar mereka tidak akan terpinggir dari menerima bantuan berkaitan.



Ditanya mengenai belanjawan negeri Sabah 2025 yang telah dibentangkan Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, jelas James ia suatu peruntukkan yang baik dan khusus untuk rakyat termasuk elaun RM300 sebulan kepada yang layak dan tidak lupa menyentuh kebajikan rakyat dibawah kementerian beliau.



Dalam pada itu, Nagaraju berharap MITRA dapat menyalurkan bantuan terus kepada pihak kerajaan negeri Sabah yang kemudian di sampaikan kepada komuniti India Sabah yang layak mendapatkan bantuan itu.



Beliau juga merakam penghargaan kepada semua yang telah menjayakan sambutan Deepavali di Sandakan itu dengan jayanya.

Comments


bottom of page