Keprihatinan ibu bapa dan guru-guru dalam perkembangan pendidikan menjadi aspirasi dan pendorong buat anak-anak
9 January 2025
NABAWAN: Keprihatinan ibu bapa dan guru-guru dalam perkembangan pendidikan anak-anak akan menjadi aspirasi dan pendorong yang paling bermakna buat anak-anak.
Pegawai Pendidikan Daerah Pensiangan Puan Laineh Agindang @ Mohd Asri berkata, kejayaan muri-murid tidak akan dapat dicapai tanpa usaha gigih dan komitmen yang tinggi dalam kalangan pentadbir, guru-guru, ibu bapa dan yang paling utama adalah usaha murid itu sendiri.
Justeru itulah katanya, permuafakatan antara ibu bapa dan guru menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sangat penting.
"Hubungan yang erat dan mesra, diiringi kerjasama yang padu antara ibu bapa dan guru diibaratkan seperti aur dengan tebing, saling memerlukan antara satu sama lain" katanya semasa berucap merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Prasekolah Sesi 2024/2025 Kali ke 22 di dewan serbaguna Majlis Daerah di sini pada Selasa.
Katanya, kerjasama ini sudah pasti menjadi pendorong dan pemudah cara dalam setiap usaha ke arah kemajuan anak-anak kita sebagai tonggak masa hadapan.
Pada masa sama Laineh berharap agar ibu bapa dan guru-guru sentiasa bergabung tenaga bagi memastikan kejayaan anak-anak di daerah ini.
Beliau juga mengucapkan syabas kepada guru-guru sekolah, bantuan dari semua Pembantu Pengurusan Murid dan ibu bapa atas komitmen yang ditunjukkan pada majlis ini.
Katanya, kejayaan anak-anak pada hari ini adalah simbol kerjasama, permuafakatan dan interaksi yang dijalinkan bersama.
"Mudah-mudahan semangat dan komitmen yang tinggi ini akan dapat ditingkatkan lagi supaya sekolah-sekolah di daerah Pensiangan akan mencapai kejayaan lebih cemerlang, gemilang dan terbilang" tambahnya.
Menyentuh tentang kehadiran ibu bapa yang sangat memberangsangkan pada majlis ini Laineh berkata, ini membuktikan bahawa ibu bapa mempunyai sikap responsif dan sensitiviti yang tinggi terhadap isu-isu yang melibatkan anak-anak mereka.
Hadir sama Guru Besar SK Saliliran Kenny Lawrence selaku Pengerusi Pelaksana dan Guru-Guru Prasekolah.
Commenti