top of page
  • nabalunews

Keprihatinan, kebajikan terhadap masyarakat India diteruskan dalam Belanjawan 2025 - PM Anwar




25 September 2024


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap masyarakat India akan diteruskan menerusi Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada 18 Oktober depan bagi melaksanakan beberapa program khusus seperti sebelum ini.


Menurut laporan Bernama, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan tidak pernah meminggirkan kebajikan golongan itu, malah sentiasa menambah baik semua aspek penting termasuk pendidikan, penyediaan rumah ibadat dan peluang pekerjaan.


Beliau berkata sehingga kini sebanyak RM1.5 juta telah disalur untuk bakul makanan sempena perayaan Deepavali manakala RM20 juta bagi pembinaan tempat pembakaran mayat atau krematorium di beberapa negeri melibatkan Kedah, Johor, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.


"Sebelum ini juga kerajaan telah menyalurkan peruntukan kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) selain menambah beberapa dana seperti bantuan kepada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia untuk masyarakat India," katanya dalam hantaran menerusi Facebook hari ini.


Perdana Menteri berkata beliau telah menyampaikan amanat mengenai usaha kerajaan terhadap masyarakat India itu sewaktu pertemuan bersama Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan media masyarakat India hari ini serta mengingatkan hadirin kepentingan mengekalkan keharmonian antara semua kaum.


"Semoga taraf sosioekonomi masyarakat India di negara ini dapat terus dipertingkatkan pada masa hadapan," katanya.


Sementara itu Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata Mesyuarat Kabinet hari ini turut membincangkan berkenaan isu berkaitan kebajikan komuniti India.


Beliau berkata Perdana Menteri bersama Menteri Digital Gobind Singh Deo telah mengadakan pertemuan dengan sejumlah ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Senator daripada komuniti India, semalam.


“Banyak perkara dibincangkan, antaranya isu yang telah diumum oleh Perdana Menteri seperti peruntukan RM20 juta untuk pembinaan sejumlah krematorium di beberapa negeri dan perkara-perkara berkaitan usaha kerajaan bagi menangani masalah seperti kewarganegaraan dan isu biasiswa.


“Ada beberapa perkara lain juga dibincangkan hari ini melibatkan ketua kampung India dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, telah diminta untuk mengeluarkan kenyataan media mengenai perkara ini,” katanya.

Comments


bottom of page