top of page
Wartawan Nabalu News

Keputusan Mahkamah Rayuan beri kebenaran SLS teruskan semakan kehakiman Hak 40% Sabah, dipuji

18 Jun 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU : Keputusan Mahkamah Rayuan (COA) hari ini yang mengekalkan kedudukan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang memberikan kebenaran kepada Persatuan Undang-undang Sabah (SLS) untuk meneruskan perbicaraan substantif permohonan semakan kehakiman mereka berkenaan dengan Geran Pemberian Khas 40 peratus yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan, dipuji Penasihat Undang-Undang kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh.


"COA dalam menolak rayuan oleh pihak Jabatan Peguam Negara Persekutuan (FAGC) telah tidak bersetuju dengan kenyataan daripada pihak mereka bahawa SLS tidak mempunyai 'locus standi' (hak di sisi undang-undang)

atau bahawa perkara itu adalah 'nonjusticiable' (tidak adil).


"Tiada sebarang kos yang dikeluarkan oleh pihak COA. Adalah penting untuk merekodkan bahawa sebelum menyampaikan keputusan itu, pihak kerajaan negeri Sabah (yang diwakili oleh Peguam Besar Negeri Sabah dan saya sendiri) telah diminta dan telah pun mengesahkan pendiriannya secara lisan iaitu isu perlembagaan yang penting ini harus diselesaikan sepenuhnya berdasarkan merit dalam perbicaraan substantif permohonan oleh SLS di Mahkamah Tinggi," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.


Sebagai tambahan, Brenndon berkata

pihaknya juga telah mengesahkan bahawa telah menarik balik penyerahan awal atau earlier submission yang dibuat pada 16 Mei 2024.


"Oleh itu, pihak kami tidak menyokong rayuan yang dibuat oleh pihak FAGC terhadap keputusan Mahkamah Tinggi untuk memberikan kebenaran permohonan semakan kehakiman kepada SLS.


"Selain itu, kerajaan negeri Sabah akan didengar sebagai pihak dalam prosiding di Mahkamah Tinggi.


"Seperti yang telah dinyatakan oleh pihak COA, ini merupakan kepentingan perlembagaan yang tinggi (a matter of high constitutional importance) dan adalah wajar untuk ditafsir secara kehakiman dan ditetapkan sebagai perkara berkepentingan awam (public interest)," katanya.


Menurutnya, dalam masa yang sama dan secara berasingan, sesi perundingan diantara kerajaan negeri Sabah dengan Kerajaan Persekutuan mengenai dengan Pemberian Khas Hasil Bersih 40 peratus di bawah Artikel 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan dijangka berterusan seperti yang telah dipersetujui mengikut 'interim arrangement' atau penyusunan sementara di antara kerajaan masing-masing.


Pada 11 November 2022, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memberikan kebenaran kepada SLS untuk memulakan semakan kehakiman berhubung dakwaan kegagalan Kerajaan Persekutuan untuk memulangkan 40 peratus hasil tahunan yang diperoleh daripada Sabah kepada kerajaan negeri.


Hakim Mahkamah Tinggi Ismail Brahim membenarkan permohonan SLS bagi mendapatkan kebenaran bagi meneruskan semakan kehakiman kerana SLS mempunyai locus standi untuk berbuat demikian kerana ia adalah litigasi berkepentingan awam.


FAGC telah memperoleh perintah penangguhan bagi menghalang Mahkamah Tinggi mendengar merit kes itu sementara menunggu rayuan.


SLS memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 2022 bagi membatalkan warta Kerajaan Persekutuan mengenai geran tahunan sebanyak RM125.6 juta untuk Sabah dengan mendakwa ia melanggar hak hasil negeri itu di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


SLS juga mahu Kerajaan Persekutuan membuat semakan terhadap Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan untuk secara wajar ‘mencerminkan’ hak 40% kepada Sabah.


SLS berhujah semakan dilakukan bagi tempoh 1969 hingga 1973, namun terhenti setakat itu dan akibat daripada itu rakyat Sabah hilang manfaat terhadap pemberian khas selama 47 tahun.


Kerajaan Persekutuan menegaskan nilai pemberian khas perlu ditentukan oleh pusat dan negeri, mengambil kira kedudukan fiskal dan kewangan.

Hozzászólások


bottom of page