Keputusan rayuan terakhir Peter Anthony ditangguhkan lagi
![](https://static.wixstatic.com/media/d65831_0a1d9994054c40dab84ef2a37e03c890~mv2.jpg/v1/fill/w_640,h_427,al_c,q_80,enc_auto/d65831_0a1d9994054c40dab84ef2a37e03c890~mv2.jpg)
6 Februari 2025
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan sekali lagi menangguhkan keputusan terhadap rayuan terakhir bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony, yang berusaha untuk membatalkan sabitan dan hukuman ke atasnya.
Menurut laporan Utusan Malaysia, penangguhan ini disahkan sendiri oleh Timbalan Pendakwa Raya bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wan Shaharuddin Wan Ladin.
Keputusan mahkamah sepatutnya diumumkan pada 27 November 2024, selepas kes selesai dibicarakan di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim, Hakim Zaini Mazlan, dan Hakim Azmi Ariffin pada 1 Ogos tahun lalu.
Namun, tarikh keputusan itu kemudiannya ditunda ke 9 Januari 2025, sebelum ditangguhkan sekali lagi ke 7 Februari 2025.
Peter yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap didakwa atas kesalahan memalsukan sepucuk surat dari pejabat timbalan naib canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014. Dokumen itu dikatakan mengandungi kenyataan palsu dengan niat untuk menipu.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan antara 13 Jun hingga 21 Ogos 2014 di pejabat Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.
Di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan, kesalahan ini boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika disabitkan bersalah.
Rayuan ini merupakan peluang terakhir bagi Peter selepas Mahkamah Tinggi pada 18 April 2023 mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang menjatuhkan hukuman terhadapnya pada 26 Mei 2022.
Setakat ini, beliau telah menjelaskan bayaran denda sebanyak RM50,000.
Comments