top of page
nabalunews

Kerajaan akan teliti 164 undang-undang pra 1969


6 November 2024


KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneliti 164 undang-undang pra 1969, sama ada perlu disemak semula atau dikekalkan atau memerlukan tindakan kajian lanjut.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata ia berdasarkan hasil kumpul semak status terhadap 3,404 undang-undang pra 1969.


Azalina berkata, daripada 164 undang-undang itu, 84 undang-undang disenaraikan untuk disemak di bawah Akta Penyemakan Undang-Undang 1968 (Akta 1) atau dikekalkan bagi maksud pemberitahuan seksyen 11 Akta 1.


Selain itu, sebanyak 80 undang-undang disenaraikan bagi tindakan kajian lanjut Jabatan Peguam Negara.


Beliau berkata, sebanyak 3,203 undang-undang pra 1969 tidak memerlukan tindakan lanjut kerana 1,717 undang-undang sudah dimansuhkan atau disemak di bawah Akta 1.


“Sebanyak 1,486 undang-undang dalam kategori “had its effect/ spent/ cease to operate/expired/undang-undang pindaan/ undang-undang pemansuhan/ bidang kuasa Negeri atau Singapura.


“Undang-undang dan akta lapuk akan dimansuhkan atau digantikan dengan yang baharu tertakluk kepada keputusan dasar kementerian, jabatan atau agensi yang bertanggungjawab,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

Comments


bottom of page