Kerajaan ambil perhatian kemudahan awam komuniti di Daerah Kecil Pagalungan
Oleh Wartawan Nabalu News
27 Disember 2024
PAGALUNGAN: Keperluan prasarana atau kemudahan awam komuniti di Daerah Kecil Pagalungan akan diambil perhatian oleh kerajaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin berkata, walaupun Daerah Kecil ini terpencil di Pedalaman negeri ini tetapi kerajaan tidak meminggirkannya.
Katanya, salah satu kemudahan dibina adalah dewan serbaguna yang merupakan keperluan orang ramai di sekitarnya.
"Sebab itulah saya melihat keperluan ini menjadi keutamaan untuk kita bina agar ia boleh menampung kehadiran orang ramai pada majlis-majlis atau program-program yang melibatkan orang ramai" katanya semasa berucap merasmikan dewan serbaguna Pagalungan baru-baru ini.
Ghani yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) berkata, sebenarnya banyak lagi keperluan asas yang perlu dibangunkan di sini tetapi menurutnya dahulukan keutamaan semasa yang penting untuk manfaat semua.
"Sebagai wakil rakyat di kawasan ini saya akan terus berusaha untuk memastikan keutamaan serta keperluan rakyat didahulukan. Sebab itu, apabila berada di dalam persidangan Dewan Undangan Negeri, keutamaan ucapan atau persoalan-persoalan yang saya timbulkan adalah mengenai pembangunan prasarana dan infrastruktur asas di kawasan sendiri" jelasnya.
Tambahnya, setiap kali sidang DUN diadakan beliau mesti menyuarakan perihal yang berkait dengan pelbagai keutamaan untuk pembangunan di kawasan ini.
Pada masa sama Ghani menggesa agar rakyat di kawasan ini memberi sokongan padu kepada Kerajaan Negeri yang ada pada hari ini dan menyambut baik pelbagai dasar dan insentif yang dilaksanakan.
Hadir sama Penolong Pegawai Daerah Kecil Pagalungan Hasinin Kinsim selaku pengerusi penganjur, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Nabawan Deckson Andipai, ketua-ketua jabatan dan pemimpin-pemimpin masyarakat.
Comments