top of page

Kerajaan fokus naik taraf fasiliti sedia ada untuk Sukan SEA 2027

nabalunews

 



4 Disember 2024

 

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang membina stadium atau fasiliti baharu menjelang Sukan SEA 2027, sebaliknya akan menaik taraf kemudahan sedia ada untuk memenuhi keperluan penganjuran acara tersebut. 

 

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim, berkata usaha menaik taraf kemudahan akan dilaksanakan selepas proses koordinasi dan perbincangan lanjut dengan pihak berkaitan, termasuk kerajaan negeri.

 

"Pihak kerajaan akan menaik taraf kemudahan-kemudahan sedia ada sukan untuk kegunaan Sukan SEA 2027 akan datang termasuk di Sarawak selepas diadakan koordinasi dan perbincangan lanjut," katanya di Dewan Rakyat, menjawab pertanyaan wakil Lubuk Antu, Roy Angau Gingkol. 

 

Beliau turut memaklumkan bahawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan berbincang dengan kerajaan negeri selepas penubuhan Jawatankuasa Pengelola dan Sekretariat Sukan SEA 2027 selesai. 

 

Sukan SEA 2027 akan melibatkan kerjasama antara Sarawak, Sabah, Pulau Pinang, dan Kuala Lumpur sebagai tuan rumah bersama. 

 

Menurut Adam Adli, pemilihan atlet untuk temasya itu dilakukan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama persatuan sukan terlibat.

 

Terdapat 38 hingga 44 jenis sukan akan dipertandingkan, dan pemilihan atlet juga dibuat melalui pelbagai saluran termasuk Sukan Malaysia (SUKMA) dan beberapa kejohanan terbuka.

 

 

Kommentare


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page