top of page
nabalunews

Kerajaan hargai sumbangan sektor korporat bantu mangsa banjir


 


4 Disember 2024

 

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengucapkan penghargaan atas keprihatinan sektor swasta dan korporat dalam membantu meringankan beban penduduk terjejas akibat banjir di beberapa negeri. 

 

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, mendedahkan bahawa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Petronas, Yayasan Hasanah, dan Pharmaniaga telah menyalurkan bantuan bernilai lebih RM10 juta sehingga Oktober lalu. 

 

“Insya-Allah hari ini juga, saya akan menerima sumbangan bantuan banjir daripada syarikat swasta terkemuka dengan jumlah terkumpul lebih RM35 juta. Jadi di Dewan yang mulia ini, bagi pihak Dewan (Negara), saya ucapkan penghargaan kepada semua,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara hari ini. 

 

Dalam pembentangannya, Anwar turut menegaskan komitmen kerajaan untuk memperkukuh kedudukan kewangan negara sambil memastikan dasar fiskal terus menyokong pertumbuhan ekonomi. 

 

“Belanjawan ketiga ini memperhebat usaha pembaharuan fiskal yang lebih tegas dan bersasar, yang akan terus mengimbangi usaha mengukuhkan kedudukan kewangan supaya lebih mampan,” katanya. 

 

Jelas beliau, kadar defisit dijangka menurun kepada 3.8 peratus menjelang 2025, berbanding 4.3 peratus tahun ini, selaras dengan langkah-langkah pengurangan defisit secara konsisten dan berperingkat. 

Comments


bottom of page