top of page
nabalunews

Kerajaan komited perjuangkan jaringan keselamatan pekerja swasta selepas bersara


25 November 2024


KUALA LUMPUR: Ramai pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) tidak memiliki jaringan keselamatan selepas usia persaraan.


Sehubungan itu Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, berkata kerajaan akan terus berusaha memperjuangkan agar pekerja swasta mendapat jaringan keselamatan selepas mereka mencapai umur persaraan kelak.


Namun, katanya, fokus kementerian ketika ini adalah untuk meminda Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) bagi membolehkan bencana bukan dalam pekerjaan juga mendapat perlindungan daripada PERKESO.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Lipis berkata, komitmen kerajaan bagi perkara itu secara prinsipnya sudah dipersetujui ketika dibangkitkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, pada Mac lalu.


"Kita maklum jumlah warga tua akan meningkat kira-kira 15 peratus menjelang 2030 dengan perkara ini sudah dinyatakan dalam Kerangka Dasar Manusia 2025-2030.


"Faedah PERKESO mengambil kira kos sara hidup dan kadar inflasi semasa serta kemampanan dana pertubuhan berkenaan dan pekerja berusia 60 tahun ke atas serta masih bekerja dalam sektor formal, individu terbabit layak dilindungi di bawah skim bencana pekerjaan.


"Kita doakan supaya Akta 4 ini diubah melalui Kabinet dan dibawa kembali ke persidangan Dewan Rakyat akan datang," katanya pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini, lapor Bernama.


Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri M Saravanan (BN-Tapah) mengenai usaha kerajaan menyediakan jaringan keselamatan kepada pekerja swasta selepas mencapai usia persaraan kelak.


Menjawab soalan asal, Abdul Rahman berkata, tiada had umur ditetapkan PERKESO bagi Orang Berinsurans menghantar tuntutan insuran pekerjaan, termasuk permohonan di bawah Skim Keilatan Akta 4.


Beliau berkata, ia sekali gus memberi sedikit ruang kepada Orang Berinsurans untuk menuntut hak bagi mendapatkan perlindungan insuran.


Sehingga kini, katanya, had umur bagi kelayakan manfaat pencarum PERKESO untuk Pencen Ilat dan Pencen Penakat di bawah Akta 4 masih kekal sehingga 60 tahun.


"Pindaan had umur kelayakan daripada 55 kepada 60 tahun sudah pun dilaksanakan PERKESO pada 2013, selaras Akta Umur Persaraan Minimum 2012.


"Had umur 60 tahun bagi pekerja yang dilindungi di bawah Skim Keilatan adalah selaras umur persaraan minimum 60 tahun di bawah Akta 753.


"Namun, pekerja berumur 60 tahun ke atas dan masih bekerja dalam sektor formal, mereka layak dilindungi di bawah Skim Bencana Kerja, Akta 4. Kadar caruman ditetapkan adalah mengikut Jadual Kedua yang mana dibayar majikan sahaja," katanya.


Beliau berkata, individu berusia 60 tahun ke atas yang bekerja sendiri dalam sektor tidak formal pula dilindungi di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789).


"Ia memberi perlindungan kepada individu bekerja sendiri daripada bencana pekerjaan, termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan semasa menjalankan aktiviti pekerjaan termasuk semasa dalam perjalanan berkaitan aktiviti pekerjaannya," katanya.

Comentários


bottom of page