Kerajaan komited tarik pelaburan pusat data dengan elektrik hijau
11 Disember 2024
KUALA LUMPUR: Komitmen kerajaan untuk meningkatkan akses kepada bekalan elektrik hijau dilihat sebagai langkah strategik bagi menarik pelaburan bernilai tinggi dalam sektor pusat data di Malaysia.
Menurut Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, sasaran kerajaan adalah meningkatkan campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) dalam pembekalan elektrik negara daripada 28 peratus pada masa kini kepada 31 peratus menjelang tahun depan. Sasaran ini akan terus meningkat kepada 40 peratus pada 2035 dan 70 peratus menjelang 2050.
"Akses kepada bekalan elektrik hijau merupakan antara syarat penting dalam menyediakan ekosistem pelaburan yang kondusif untuk menarik pelaburan pusat data bernilai tinggi ke Malaysia.
"Peningkatan kapasiti TBB secara berperingkat dan terancang merupakan langkah persediaan PETRA dan Suruhanjaya Tenaga untuk memenuhi permintaan tenaga elektrik hijau yang diperlukan pusat-pusat data.
"... Selain menjadi salah satu syarat untuk menggalakkan pelaburan baharu yang bernilai tinggi ke negara ini," katanya ketika menjawab soalan wakil Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, di Parlimen.
Beliau turut menjelaskan bahawa Program Pembekalan Elektrik Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) telah diperkenalkan bagi memudahkan syarikat korporat mendapatkan akses langsung kepada bekalan elektrik hijau daripada penjana TBB.
Langkah ini, menurut Akmal Nasrullah, adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan Malaysia terus menjadi destinasi pilihan bagi pelabur pusat data bernilai tinggi.
Comments