top of page

Kerajaan Komited Teruskan Agenda Reformasi Institut - Anwar

nabalunews


3 Mac 2025


PUTRAJAYA: Kerajaan komited untuk meneruskan agenda reformasi institusi dengan melaksanakan perubahan, bagi menjamin ketelusan dan kecekapan dalam pengurusan kewangan serta pentadbiran awam, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Memberi contoh mengenai beberapa perubahan yang telah dilakukan Kementerian Kewangan, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kementerian itu telah memperkenalkan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) yang menuntut pelaksanaan disiplin fiskal yang ketat.


“Bunyinya mudah tetapi tidak mudah, kerana apa yang kita janjikan berkaitan pengurangan defisit atau belanjawan mesti dilaksanakan.


“Tidak semua negara sanggup melakukannya, kerana ia memerlukan tekad politik yang kuat serta iltizam untuk melakukan reformasi sebenar,” kata beliau berucap pada Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.


Selain itu, Perdana Menteri berkata pelaksanaan Akta Perolehan Kerajaan pula bertujuan memastikan proses dan prosedur tender serta perolehan kerajaan akan kekal dipatuhi, walaupun berlaku perubahan dalam pentadbiran.


“Kerajaan boleh bertukar-ganti tapi akta itu kekal… proses tender dan perolehan kerajaan itu mesti dipatuhi,” kata beliau.


Dalam aspek penguatkuasaan, Anwar melahirkan rasa syukur atas peningkatan prestasi badan-badan penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Audit Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).


“Alhamdulillah, saya lihat badan-badan ini menjalankan tugas dengan lebih mantap. Kerajaan, termasuk Jemaah Menteri, Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan barisan tertinggi dalam perkhidmatan awam memberikan dukungan sepenuhnya.”


“Jika ada ruang untuk menambah baik, kita akan perbaiki. Saya sering mengingatkan bahawa walaupun kita rasa telah melakukan sesuatu dengan baik, kita mesti sedar masih ada ruang untuk peningkatan,” kata beliau.


Anwar menegaskan semangat untuk terus memperbaiki pentadbiran ini selari dengan ajaran Islam, merujuk kepada hadis Nabi Muhammad SAW mengenai kecekapan dan usaha berterusan untuk mencapai kecemerlangan.


Turut hadir dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.– BERNAMA

ความคิดเห็น


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page