top of page
nabalunews

Kerajaan Lanjutkan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) di Sabah dan Sarawak


12 Oktober 2024


KUCHING: Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan kemudahan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (R-A-S) di Sabah dan Sarawak untuk tempoh setahun lagi, mengambil kira proses pengambilalihan Syarikat MASwings oleh Kerajaan Sarawak yang masih dalam perbincangan.


Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, memaklumkan bahawa keputusan ini dibuat pada mesyuarat jemaah menteri yang berlangsung pada Selasa lepas.


Menurut beliau, perbincangan antara Kerajaan Sarawak, Khazanah Nasional Berhad, dan Malaysia Aviation Group masih berlangsung mengenai beberapa aspek seperti pengoperasian dan perjanjian komersial.


“Selepas proses pengambilalihan selesai, Kementerian Pengangkutan akan merundingkan perjanjian baru untuk tempoh yang lebih panjang.


“Dari segi prinsip, kerajaan persekutuan bersetuju untuk melanjutkan RAS yang kini disubsidi sebanyak RM209 juta setahun,” jelas Loke pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian Program Transformasi Bas Berhenti-henti (SBST) di sini, semalam.


Perjanjian RAS sedia ada dijadualkan berakhir pada 31 Disember ini. Sebelum ini, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, mengumumkan bahawa MASwings dijangka mula beroperasi sebagai syarikat penerbangan milik Sarawak pada tahun 2025.

Komentar


bottom of page