top of page
nabalunews

Kerajaan Madani beri tol percuma sempena Krismas

21 Disember 2024


KUALA LUMPUR: Semua pengguna lebuh raya yang menggunakan kenderaan persendirian bakal menikmati tol percuma selama dua hari pada 23 dan 24 Disember ini sempena perayaan Hari Krismas.


Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, menyatakan bahawa pengecualian tol ini akan berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam Isnin (23 Disember) sehingga 11.59 malam Selasa (24 Disember).


“Kerajaan MADANI telah bersetuju untuk memberikan tol percuma kepada kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian) sahaja selaras dengan aspirasi ‘MADANI di Hati, Rakyat Disantuni’ sempena perayaan Hari Krismas 2024,” katanya dalam kenyataan rasmi.


Walau bagaimanapun, pengecualian tol ini tidak melibatkan plaza tol di sempadan negara, iaitu di Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor Darul Takzim.


Menurutnya, kerajaan akan menanggung implikasi kewangan berjumlah RM38 juta bagi membayar balik kepada syarikat konsesi tol yang terlibat.


Untuk memastikan perjalanan yang lancar, pengguna lebuh raya disarankan menyemak status trafik semasa melalui platform rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) seperti Facebook, aplikasi X (@LLMtrafik), TikTok (@llmtrafik), atau laman sesawang rasmi di https://www.llm.gov.my.


“Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat trafik terkini atau bantuan melalui Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752. Selain itu, maklumat keadaan trafik juga boleh diperoleh melalui WhatsApp Channel LLM Info Trafik,” tambah beliau.

Comments


bottom of page