Kerajaan Madani Luluskan Bantuan Khas Aidilfitri

21 Mac 2025
KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani, hari ini, meluluskan beberapa Bantuan Khas sempena Hari Raya Aidilfitri kepada penjawat awam dan pesara.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, Bantuan Khas itu mengambil kira keperluan perbelanjaan rakyat dalam persiapan Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, peluasan asas hasil Kerajaan dalam penstrukturan semula kewangan awam telah memberi sedikit sebanyak ruang untuk berkongsi hasil negara secara saksama.
“Ini termasuk, Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) Tahun 2025 sebanyak RM500 yang dibayar kepada penjawat awam Gred 56 dan ke bawah.
“Ia merangkumi pegawai atau kakitangan lantikan kontrak, pegawai sambilan harian dan lantikan MySTEP,” katanya.
Menurutnya, terdapat juga Bantuan Khas sebanyak RM250 yang dibayar kepada pesara Kerajaan melibatkan pesara berpencen, penerima pencen terbitan, pesara KWSP, veteran berpencen serta veteran tidak berpencen.
Katanya, Kerajaan Madani turut meluluskan Bantuan Khas kepada penjawat awam dan pesara ini melibatkan implikasi kewangan
mencecah RM900 juta.
“Pembayaran BKKA akan disalurkan sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri. Bantuan Khas ini juga akan memanfaatkan lebih 2 juta penjawat awam dan pesara.
“Kerajaan berharap pemberian Bantuan Khas ini dapat meringankan beban kewangan
kepada penjawat awam dan pesara serta dijadikan sebagai pemangkin kepada mereka
untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi,” katanya.
Sementara itu, dalam kenyataan itu turut berkata, selain penjawat awam, Kerajaan MADANI juga akan mengawalkan Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 untuk 9 juta penerima mulai 24 Mac depan dengan peruntukan sebanyak RM1.7 bilion.
Commentaires