Kerajaan Madani terus perkukuh ikhtiar kos sara hidup menerusi pelbagai strategi - Armizan

30 Mac 2025
KOTA KINABALU: Kerajaan Madani akan terus memperkukuhkan ikhtiar kos sara hidup termasuk melalui pendekatan bantuan tunai dan bantuan langsung.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ia merupakan salah satu bentuk ikhtiar sara hidup yang berkesan kerana mempunyai elemen bersasar, pantas dan fleksibel.
"Ikhtiar kos sara hidup yang dilaksanakan Kerajaan terus diperkukuh menerusi pelbagai strategi dan pendekatan termasuk melalui pemberian bantuan tunai kepada golongan sasar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan Sesi Walkabout Program Jualan Rahmah, di Kota Kinabalu hari ini. Beliau diiringi Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Dato’ Sri Dr Sabin Samitah.
Armizan berkata, selain penyaluran bantuan tunai di peringkat Kerajaan Persekutuan, beliau amat menghargai dan mengalu-alukan pelaksanaan program khusus membantu rakyat menangani kos sara hidup yang telah digerakkan oleh Kerajaan-Kerajaan Negeri.
Sebagai contoh, katanya, pelaksanaan program Sentuhan Kasih Rakyat Sabah (SYUKUR), iaitu program pemberian bantuan tunai berjumlah RM300 sebulan yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Sabah untuk membantu 100,000 penerima yang layak dalam kategori miskin dan miskin tegar.
"Inisiatif SYUKUR ini merupakan satu bentuk nilai tambah kepada program pemberian tunai dan bantuan langsung sedia ada yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan seperti melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA). Untuk tahun 2025, sebanyak RM13 bilion diperuntukkan bagi kedua-dua inisiatif ini, iaitu peningkatan RM3 bilion berbanding tahun 2024," katanya.
Armizan berkata, bermula April 2025 pula, kerajaan akan memperluaskan pelaksanaan SARA kepada 5.4 juta penerima berbanding 700,000 penerima sebelumnya.
Katanya, kadar bantuan bulanan SARA turut dinaikkan kepada sehingga RM200 mengikut kategori berbanding hanya RM100 sebulan sebelum ini.
"Daripada jumlah keseluruhan penerima, Sabah mencatatkan angka penerima bantuan tertinggi iaitu seramai 497,815 orang dengan jumlah peruntukan sebanyak RM492,636,150," katanya.
Menurutnya, sebagai langkah penyeragaman dan penambahbaikan, mekanisme penyaluran bantuan melalui MyKad telah diperluaskan kepada penerima SARA yang bermastautin di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
"Ini merupakan penambahbaikan berbanding kaedah tahun lepas yang mengguna pakai kaedah saluran secara tunai dua kali setahun," katanya.
Beliau berkata, bagi fasa permulaan, sebanyak 424 rakan niaga termasuk pasar raya dan kedai runcit terpilih di Sabah akan menawarkan pembelian barangan di bawah inisiatif ini.
"Penerima SARA boleh menggunakan kredit yang disalurkan untuk membeli 13 kategori barang keperluan terpilih termasuk barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan, selain daripada barang makanan asas," katanya.
"Pemberian ini diharapkan dapat memberi fleksibiliti kepada penerima dalam mengatur atau menentukan sendiri perbelanjaan sama ada bagi kegunaan membeli barangan keperluan seperti makanan, pendidikan dan perkhidmatan mengikut keperluan semasa isi rumah," katanya.
Commentaires