top of page

Kerajaan Negeri beri peruntukkan RM13.66 juta pemeliharaan warisan budaya dan seni Sabah

  • nabalunews
  • 8 hours ago
  • 2 min read

Hajiji disambut peserta Unduk Ngadau setibanya di majlis itu
Hajiji disambut peserta Unduk Ngadau setibanya di majlis itu

27 April 2025


TUARAN: Kerajaan Negeri sentiasa memberi penekanan terhadap usaha pemeliharaan warisan budaya dan seni Sabah menerusi peruntukkan sebanyak RM13.66 juta tahun ini.


Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia bagi memastikan warisan seperti pakaian tradisional etnik Sabah bukan saja diwarisi oleh generasi masa kini tetapi juga dilindungi untuk generasi akan datang.


Sehubungan itu, beliau berharap minat terhadap warisan budaya negeri ini dapat dikekalkan dan diwarisi dari satu generasi ke generasi akan datang.


"Para peserta pertandingan Unduk Ngadau sendiri perlu mengambil peluang untuk menjadi duta pemeliharaan budaya, bahasa dan tradisi suku kaum Kadazandusun," katanya.


Beliau berkata demikian pada majlis Sodop Unduk Ngadau Kaamatan peringkat daerah Tuaran di Nexus Resort and Spa Karambunai malam Sabtu.


Hajiji berkata acara itu bukan sekadar pertandingan fesyen pakaian etnik, malah ia merupakan satu platform penting untuk menyerlahkan usaha dalam memelihara, mengangkat dan memartabatkan warisan budaya masyarakat Kadazandusun Murut dan Rungus (KDMR), khususnya dalam aspek pakaian tradisional yang kaya dengan nilai estetika, simbolisme dan sejarah.


"Acara-acara seperti ini juga boleh menjana ekonomi dalam kalangan pereka-pereka busana dan pakaian etnik di negeri Sabah melalui ciptaan dan kreativiti mereka," katanya.


Hajiji berkata, busana tradisional bukan hanya sekadar pakaian, tetapi melambangkan identiti, kedudukan sosial, nilai dan tradisi sesuatu kaum.


Sebagai contoh katanya, daerah Tuaran terkenal dengan sulaman Linangkit, di mana setiap sulaman, motif dan warna mempunyai makna dan cerita tersendiri.


"Kita mesti menghargai dan mengetengahkan seni ini kepada generasi muda dan masyarakat umum.


"Pertandingan ini juga menyokong usaha Kerajaan Negeri untuk memperkukuh pelancongan budaya melalui promosi warisan tempatan.


“Keunikan busana etnik Kadazandusun boleh menjadi tarikan bukan sahaja di peringkat negeri, malah di peringkat antarabangsa," katanya.


Ketua Menteri berkata, tema sambutan Pesta Kaamatan tahun ini, "Kaamatan Untuk Semua", membawa makna yang besar bahawa semangat Kaamatan tidak terbatas kepada satu kaum sahaja, tetapi adalah milik bersama seluruh rakyat Sabah.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page