top of page
  • nabalunews

Kerajaan Negeri bersikap prihatin, adil bantu masyarakat luar bandar - Ghani

23 September 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


NABAWAN: Kerajaan negeri bersikap prihatin, adil dan akan terus berusaha membantu masyarakat di luar bandar khususnya dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui pembangunan sosioekonomi dan pembangunan infrastruktur.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin berkata, masih banyak perancangan kerajaan negeri yang masih dalam proses perlaksanaan.


"Kita berharap agar pembangunan yang telah dirancang akan dilaksana sesuai dengan jadual yang telah digariskan" katanya semasa berucap merasmikan Program Bulan Kebangsaan dan Kaunturan Ra Kaulayan (Bersatu Memperkasakan Budaya) Perpustakaan Desa, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Komuniti Mukim Pemuntarian di Balai Budaya Mukim Pemuntarian di sini, Sabtu lalu.


Mengenai isu pengaspalan jalan Pamuntraian yang disiarkan TV3 melalui segmen Aduan Rakyat baru-baru ini Ghani berkata, beliau sudah beberapa kali menyuarakan perkara ini melalui sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).


Namun begitu katanya, kuasa untuk melaksana penaiktarafan jalan ini tidak hanya terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri sahaja tetapi turut memerlukan kerjasama Kerajaan Persekutuan.


Dalam pada itu beliau berharap agar pihak-pihak berwajib boleh

menyelesaikan perkara ini dengan kadar segera dan sewajarnya demi kesejahteraan semua komuniti di Nabawan.


Menyentuh sambutan Bulan Kebangsaan, Ghani berkata, penghayatan patriotik dan semangat cintakan negara perlu diamalkan setiap individu yang bergelar warganegara Malaysia.


"Ini kerana kekuatan kita sebagai rakyat Malaysia dan amnya masyarakat di negeri Sabah ini adalah apabila kita

menghargai dan mensyukuri nikmat kemerdekaan yang telah Tuhan anugerahkan kepada kita.


"Selain itu, dengan keunikan dan kepelbagaian budaya atau tradisi masyarakat pelbagai kaum di negara ini membuktikan bahawa persamaan dan perbezaan yang pelbagai membuatkan kita lebih kuat dan bersatupadu dengan sikap saling bertoleransi dan hormat-menghormati antara satu dengan yang lain" jelasnya.


Hadir sama Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Nabawan Deckson Andipai dan pemimpin-pemimpin masyarakat Mukim Pemuntarian.

Comments


bottom of page