top of page

Kerajaan Pastikan Keserasian Penubuhan SEGiM Dengan Penyelarasan RUU Pekerja Gig

nabalunews


12 Mac 2025


PUTRAJAYA: Kerajaan berhasrat memastikan keserasian penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) seiring dengan penyelarasan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.


Beliau berkata mesyuarat Jemaah Menteri sebelum ini membangkitkan mengenai SEGiM agar ia menjadi badan kawal selia utama dalam memastikan ekosistem ekonomi gig berkembang secara mampan.


“Mungkin yang kita harapkan ialah keserasian antara matlamat menubuhkan satu SEGiM dengan RUU Pekerja Gig dan (sebelum ini) Kabinet telah meminta supaya Menteri Sumber Manusia (Steven Sim) untuk meneliti dan mengadakan sesi libat urus yang lebih meluas.


“Jadi, kita berhasrat untuk memastikan kedua-dua perkara berkenaan terselaras,” katanya dalam sidang media pasca-Mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.


Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) SEGiM menyarankan Jemaah Menteri menimbang dan meluluskan penubuhan suruhanjaya berkenaan bagi memberi tumpuan kepada komponen kritikal dalam model ekonomi gig dan aspek yang memerlukan pengawalseliaan.


Ahmad Zahid berkata SEGiM akan memainkan peranan penting dalam menyeimbangkan kepentingan penyedia platform, pekerja gig, pengguna serta semua pihak berkepentingan, memastikan hak mereka dilindungi melalui penguatkuasaan dasar yang telus, pemantauan standard perkhidmatan serta pemerkasaan kawal selia kendiri dalam industri gig.- BERNAMA

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page