Kerajaan perkenal dua dana baharu pacu pelaburan tempatan dan asing
6 November 2024
KUALA LUMPUR: Kerajaan memperkenalkan dua dana baharu untuk merangsang pelaburan tempatan dan asing, di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).
Dana ini diwujudkan melalui usaha sama antara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi memperkukuh kedudukan ekonomi negara.
Dana tersebut dikenali sebagai Dana Pemacu Pelaburan Domestik (Domestic Investment Accelerator Fund – DIAF) dan Dana Pemacu Pelaburan Asing (Foreign Investment Accelerator Fund – FIAF).
Timbalan Menteri MITI, Liew Chin Tong menyatakan bahawa kedua-dua dana ini adalah kesinambungan kepada Dana Strategik Pelaburan Tempatan (DISF) dan Dana Berimpak Tinggi (HIF).
“MITI dan MIDA akan terus mengkaji keberkesanan insentif sedia ada selaras dengan dasar semasa kerajaan dan keperluan pemain industri, sekali gus memastikan penawaran insentif dapat meningkatkan daya saing syarikat tempatan,” jelas Liew, lapor Berita RTM.
Beliau juga menekankan bahawa insentif ini diharap dapat menarik lebih banyak pelaburan asing berkualiti, yang akan memberi kesan positif kepada industri tempatan, termasuk dalam meningkatkan aplikasi teknologi.
Liew menjawab demikian ketika soalan diajukan oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, berkenaan rancangan kerajaan untuk mengembalikan DISF dan HIF bagi membantu syarikat tempatan meningkatkan teknologi dan mencapai tahap antarabangsa.
Comments