Kerajaan Persekutuan sasar Labuan menjadi hab ekonomi maju
12 Disember 2024
LABUAN: Kerajaan Persekutuan komited untuk memacu pembangunan ekonomi Labuan agar pulau bebas cukai itu setanding dengan negeri lain yang sedang membangun, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.
Beliau berkata agenda kerajaan turut merangkumi usaha mentransformasikan Labuan menjadi pusat ekonomi dengan pelbagai sumber pertumbuhan terutamanya dalam sektor pelancongan.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) berhasrat untuk menjadikan Labuan sebagai hab ekonomi, dengan pelancongan sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi,” katanya kepada Bernama hari ini bersempena ulang tahun pertama beliau sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan.
"Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, kerajaan telah memperuntukkan RM1 juta untuk menaik taraf infrastruktur dan meningkatkan produk serta program pelancongan.
"Acara pelancongan ikonik Labuan seperti Cabaran Laut Antarabangsa Labuan (LISC) berpotensi untuk menarik ribuan pelawat.
"Kami menyasarkan untuk menambah baik program ini bagi menarik lebih ramai peserta antarabangsa," kata Dr Zaliha.
Beliau turut mengumumkan rancangan untuk memperkenalkan tawaran pelancongan baharu, antaranya Festival Bunga Borneo (BFF) yang dijangka bermula di Labuan pada Julai 2025, diilhamkan daripada kejayaan program seumpama itu di Putrajaya.
Menurut Dr Zaliha, sebanyak RM1 juta telah disalurkan menerusi Jabatan Wilayah Persekutuan dan Perbadanan Labuan untuk membina semula jeti di Pulau Rusukan Besar sebagai destinasi pelancongan popular.
Manakala penambahbaikan di Taman Burung Labuan sedang dijalankan untuk meningkatkan daya tarikannya kepada pengunjung.
Beliau berkata kemajuan dalam merancakkan semula ekonomi Labuan disumbangkan oleh kerjasama erat antara kerajaan, media, komuniti tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan.
“Kami bukan sahaja mengumumkan rancangan malah komited untuk melaksanakannya untuk manfaat ekonomi Labuan dan kesejahteraan rakyatnya.
“Membangunkan semula ekonomi Labuan bukanlah proses yang boleh diselesaikan dalam tempoh semalaman; ia memerlukan masa dan perancangan yang teliti.
“Kita mesti diberikan masa yang cukup untuk merangka, merancang dan melaksanakan inisiatif pembangunan untuk Labuan dan akan mempercepat apa-apa projek yang boleh dilakukan segera," katanya.
Comments