Kerajaan pertimbang lanjut tempoh pemberian gaji progresif hingga 24 bulan
6 Ogos 2024
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk melanjutkan tempoh masa pemberian insentif kepada majikan yang melaksanakan Dasar Gaji Progresif kepada 24 bulan berbanding 12 bulan yang ditetapkan pada masa ini, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Beliau berkata, keputusan mengenai lanjutan tempoh masa pemberian insentif itu akan diputuskan berdasarkan penelitian dan maklum balas yang diperoleh daripada pelaksanaan projek rintis yang bermula Jun lalu.
Menjelang Oktober ini, kerajaan akan mula membayar insentif kepada majikan yang layak dan mematuhi syarat pelaksanaan Dasar Gaji Progresif yang ditetapkan, katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
"Berdasarkan pelaksanaan projek rintis sehingga akhir tahun ini, ia akan memberi ruang kepada Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sumber Manusia untuk menilai perkara yang boleh ditambah baik apabila kita menskalakan pelaksanaan ini kepada lebih banyak industri dan syarikat.
"Saya berharap untuk tahun akan datang dengan pengalaman lima hingga enam bulan ini, kita akan berjaya merangka satu rangka dasar gaji yang boleh membantu mencapai bahagian pendapatan pekerja kepada 45 peratus menjelang 2033," katanya pada sidang media sempena Sesi Town Hall Dasar Gaji Progresif di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib dan Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) Kementerian Sumber Manusia, Datuk Norison Ramli.
Sehingga 5 Ogos 2024, sebanyak 1,094 akaun dibuka dengan 443 permohonan dibuat menyertai Dasar Gaji Progresif dan 144 permohonan menepati syarat gaji.
Dasar Gaji Progresif adalah usaha kerajaan untuk memastikan gaji rakyat tinggi selari dengan peningkatan produktiviti, selain tumpuan untuk melonjakkan Malaysia ke status negara berpendapatan tinggi.
Kertas Putih cadangan Dasar Gaji Progresif dibentangkan di Parlimen 30 November lalu, antara lain menjadi strategi kerajaan meningkatkan gaji penengah pekerja, sekali gus meningkatkan kadar bahagian pampasan pekerja dalam tempoh berbaki Rancangan Malaysia Ke-12 serta 10 tahun akan datang.
Majikan yang terbabit dengan Dasar Gaji Progresif boleh menuntut insentif tunai daripada kerajaan sekiranya memenuhi syarat kelayakan dengan pekerja bergaji antara RM1,500 dan RM4,999.
Syarikat yang terpilih akan menerima insentif berjumlah maksimum RM200 sebulan bagi setiap pekerja peringkat permulaan dan maksimum RM300 sebulan bagi setiap pekerja bukan peringkat permulaan.
Setiap pekerja yang berdaftar di bawah Dasar Gaji Progresif perlu menjalani kursus dan latihan peningkatan kemahiran sekurang-kurangnya selama 21 jam.
Comments